PETALING JAYA: Malaysia berjaya menawan syarikat teknologi global, Google, Amazon Web Services (AWS) dan Microsoft untuk melabur dan menjadikan negara ini hab teknologi serantau.
Semalam, Google mengumumkan pelaburan sebanyak AS$2 biliion (RM9.4 bilion) untuk mewujudkan pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di Malaysia bagi memenuhi permintaan perkhidmatan awan serantau dan seluruh dunia.
Pusat data yang merupakan pelaburan terancang terbesar Google sejak 13 tahun bertapak di negara ini akan dibangunkan di Elmina Business Park milik Sime Darby Property Bhd. di Lembah Klang.
Google merupakan gergasi teknologi global ketiga mengumumkan pelaburan di Malaysia selepas AWS pada tahun lalu dan Microsoft awal bulan ini.
AWS bakal membuka infrastruktur serantau baharu di Malaysia dengan pelaburan bernilai AS$6 bilion (RM25.5 bilion) sehingga 2037, manakala Microsoft menambah pelaburan bernilai AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) untuk empat tahun akan datang setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia.
Pelaburan tersebut juga bakal membuka hampir 500,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam bidang teknologi meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (cloud system), kecerdasan buatan (AI) dan lain-lain.
Mengulas pelaburan itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia akan menarik lebih banyak pelabur baharu kerana mereka lebih tertarik kepada negara yang sudah mempunyai peneraju di dalam ekosistemnya.
Katanya, ini kerana terdapat kelebihan dari segi skala ekonomi iaitu segala keperluan dan kehendak industri diperolehi dalam satu kawasan sahaja.
“Malaysia berada di landasan yang betul untuk mewujudkan pekerja berkemahiran tinggi dengan syarat negara menyediakan dasar, kemudahan, infrastruktur serta institusi pendidikan dan latihan yang membantu ke arah menghasilkan pekerja tersebut.
“Ia akan mewujudkan ekosistem dan limpahan ekonomi di sekeliling industri tersebut, membantu banyak perusahan mikro kecil dan sederhana (PMKS),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelaburan Google menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyediakan satu ekosistem yang sesuai kepada para pemain industri jelas telah membuahkan hasil.
Menurutnya, situasi ini sudah pasti akan mewujudkan kesan limpahan yang positif kepada ekonomi tempatan, termasuk dalam penyediaan tanah, proses pembinaan pusat data, kabel kuasa dan bekalan elektrik yang akan memanfaatkan pengusaha-pengusaha tempatan.
“Pembukaan pusat data ini bermakna Malaysia merupakan sebuah negara yang cenderung untuk menggalakkan perniagaan serta memberi fokus kepada aspek teknologi dalam usaha membangunkan negara.
“Dalam hal ini, kemasukan Google mencerminkan bagaimana pelabur luar mempunyai keyakinan dalam dasar serta ekosistem perniagaan yang menyebabkan mereka untuk memutuskan membuka pusat data di negara ini.
“Sudah tentu ia akan membuka ruang pekerjaan sama ada secara langsung atau tidak langsung disebabkan rantaian perniagaan yang berkaitan. Justeru, ia boleh dianggap sebagai pemangkin untuk mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi,” ujarnya.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berkata, pelaburan Google yang diumumkan beberapa minggu selepas Microsoft menunjukkan Malaysia menjadi pilihan kepada syarikat multinasional teknologi maklumat (IT).
Jelasnya, ini adalah pelaburan bernilai teknologi tinggi yang negara mahukan, bukannya pelaburan yang hanya menjadikan Malaysia pusat operasi untuk membuat pemasangan barangan iaitu teknologi peringkat rendah.
“Pelaburan seperti ini juga penting dalam mengurangkan ‘underemployment’ iaitu graduan berkemahiran tinggi tetapi mendapat pekerjaan yang tidak mahir, misalnya graduan kejuruteraan bekerja di kaunter restoran makanan segera untuk mengambil pesanan.
“Kekurangan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi sememangnya antara masalah utama ekonomi negara. Justeru, ia memperlahankan potensi perkembangan ekonomi untuk mencapai tahap negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya. – UTUSAN










