Bayi derita tiada lubang dubur, jantung berlubang

Hati seorang ibu luluh dengar penjelasan doktor

NOR Admira Mazlan menunjukkan bahagian perut kiri Muhammad Ayden Adrian Muhammad Idris yang ditampal lampin untuk proses pembuangan najis di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sepasang suami isteri berdepan dugaan berat apabila anak mereka berusia tujuh bulan menderita pelbagai penyakit sejak dilahirkan pada 3 Oktober 2023.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nor Admira Mazlan, 18, berkata, anak lelakinya, Muhammad Ayden Adrian Muhammad Idris tiada lubang dubur menyebabkan bahagian perut ki­rinya terpaksa dibedah bagi memudahkan membuang najis.

Menurutnya, lebih memilukan apabila Muhammad Ayden Adrian turut disahkan oleh doktor menghidap jantung berlubang.

Namun, jelasnya, kekurangan dialami anaknya tidak sesekali mematahkan sema­ngatnya dan suami, Muhammad Idris Norazlan, 19, untuk terus tabah membesarkan cahaya mata pertama hasil perkongsian hidup sejak setahun lalu.

“Bila doktor yang mera­wat memberitahu anak saya disyaki mengalami jantung berlubang, saya dan suami terkejut, seperti tidak percaya.

“Sudahlah dia tiada lubang dubur, ini berdepan satu lagi penyakit. Luluh hati saya sebenarnya.

“Namun, saya reda dengan ketentuan Ilahi biarpun anak saya tidak seperti bayi lain yang cukup sifat, tetapi saya tetap tabah menjaganya,” katanya ketika ditemui di Taman Sutera Wangi di sini.

Tambah Nor Admira yang merupakan suri rumah sepenuh masa, Muhammad Ayden Adrian dijangka menjalani pembedahan membuat lubang dubur di Hospital Melaka yang dijadualkan Disember ini.

Katanya, suami yang bekerja di sebuah kedai makan di Pantai Puteri sekadar berpendapatan RM1,400 sebulan dan tidak mampu membiayai rawatan, pembelian keperluan seperti lampin pakai buang dan sebagainya.

Ujarnya, Pejabat Ketua Menteri Melaka ada menghulurkan bantuan menerusi Setiausaha Khas Ketua Menteri, Datuk Muhammmad Ahyad Abdullah, baru-baru ini.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan ke akaun CIMB 7614671117 atas nama bapa Nor Admira, Mazlan Misran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×