IPOH: Dua lelaki parah ditikam selepas diserang sekumpulan individu bersenjatakan pisau dalam kejadian di sebuah kedai permainan komputer di Buntong, kelmarin.
Kejadian sekitar pukul 10.15 malam itu berlaku membabitkan lima lelaki yang bertindak menyerang mangsa berusia 24 tahun dan empat rakan lain berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, ketika kejadian, mangsa dan rakan-rakannya sedang bermain permainan komputer sebelum datang lima lelaki masuk ke dalam premis dan menyerang mereka.
“Akibat pergaduhan itu, mangsa cedera selepas ditikam senjata tajam di lengan dan perut serta menerima tujuh jahitan berikutan kecederaan itu.
“Rakan mangsa berusia 18 tahun juga cedera parah di lengan kanan dan memerlukan pembedahan segera,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dua daripada lima suspek berusia 19 dan 20 tahun berjaya ditangkap di kawasan Buntong hari ini dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan tiga rakan lain.
Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Izzat Ayob di talian 014-3218969.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran masyarakat sekali gus mengganggu siasatan polis,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial gambar dan rakaman video yang memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki hingga menyebabkan ada antara mereka cedera dan berlumuran darah. – UTUSAN











