KUALA LUMPUR: Penyanyi, Idayu meluahkan rasa kecewa dengan pertambahan individu Melayu Islam yang gagal istiqamah dalam usaha memboikot produk atau jenama pro-Israel.
Penyanyi berusia 39 tahun itu yang ditemui baru-baru ini berkata dia terkejut apabila semakin ramai golongan berkenaan yang kembali menyokong meskipun mereka maklum bahawa produk atau jenama terbabit secara terang-terangan menyokong zionis.
“Kita kena teruskan boikot. Kalau penduduk Palestin semangat mereka kuat, anak-anak yang tertimbus masih berupaya melaungkan nama Allah, kenapa kita pula susah sangat nak istiqamah boikot jenama yang sokong Israel?
“Alihkan sokongan kita kepada produk tempatan. Saya perhati sahaja, semakin lama semakin ramai orang Melayu Islam yang kembali ke restoran atau kafe yang sebelum ini mereka boikot demi Palestin.
“Kita tidak boleh lagi mencari alasan. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana sampai hari ini saya diberi kekuatan untuk teruskan boikot jenama-jenama terbabit,” katanya.
Idayu berkata demikian sempena malam Bersamamu Rafah yang diadakan, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Idayu menyuarakan pujian kepada rakan artis yang istiqamah dalam memboikot jenama dan produk pro-Israel.
Katanya, langkah mereka harus diteladani dan dijadikan contoh buat masyarakat.
“Tapi janganlah pula kita kecam, hukum mereka yang terikat kontrak dengan jenama-jenama berkenaan. Kita tak tahu apa yang mereka hadap disebaliknya.
“Apa pun, kita elak berkolaborasi dengan jenama atau produk pro-Israel. Yang putuskan kerjasama, saya hormati tindakan anda.
“Jangan bimbang soal rezeki kerana Allah akan bagi. Jadi teruskan boikot,” kongsinya lagi.











