Utusan Malaysia penerus legasi kewartawanan negara

Utusan Malaysia penerus legasi kewartawanan negara

Akhbar sulung Utusan Melayu yang diterbitkan pada 29 Mei 1939 dalam tulisan jawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akhbar Utusan Melayu telah meniti pelbagai liku sejajar perjuangannya bukan sahaja membela orang Melayu sebaliknya semua rakyat secara keseluruhan.

Tanpa disedari, Utusan Melayu hari ini melewati usia 85 tahun dengan mengambil detik tarikh akhbar tertua berbahasa Melayu itu yang dilahirkan pada 29 Mei 1939 di Singapura.

Sepanjang tempoh tersebut, akhbar itu telah melalui sejarah yang panjang sama ada pahit atau manis seperti wadahnya sebagai suara keramat bangsa yang membelah kota dan desa.

Akhbar ini pernah beberapa kali jatuh dan bangkit semula kerana pelbagai cabaran terma­suk faktor luaran seperti pe­nerimaan orang Melayu sendiri terhadap wadah rakyat ini.

Idea penubuhan Utusan Melayu timbul dalam satu mesyuarat yang berlangsung di kediaman Presiden Kesatuan Melayu Singapura, Daud Mohd. Shah yang juga dihadiri bekas Yang di-Pertuan Negara (Presiden), Yusuf Ishak.

Pada tanggal 18 Jun 1938, Utusan Press Limited ditubuhkan untuk menerbitkan akhbar Utusan Melayu meskipun berhadapan kos tinggi dan memerlukan lebih 12,500 Ringgit Malaya untuk pendaftaran syarikat itu.

Atas iltizam keazaman, semua pengasas Utusan Melayu menyumbangkan duit mereka sebanyak 2,000 ringgit Malaya untuk menubuhkan syarikat itu.

Bermodalkan sumbangan orang Melayu, dana berjaya dikumpulkan dan akhirnya tarikh 29 Mei 1939, Utusan Melayu mencatatkan keluaran sulungnya dengan harga 10 sen senaskhah.

Pada April 1939, pejuang kebangsaan yang juga sasterawan iaitu Ishak Haji Mohammad atau Pak Sako dilantik sebagai Pe­ngarang Utusan yang pertama manakala Yusof Ishak dilantik sebagai Ketua Pengarang Utusan.

Akhbar ketika itu bertujuan mengangkat Melayu ke dunia ilmu yang progresif melalui pembacaan berita dan rencana menerusi tulisan Pak Sako yang merupakan pejuang kemerdekaan tanah air jauh sebelum UMNO ditubuhkan.

Bagaimanapun Utusan Melayu berdepan ujian pertama apabila ketika perang meletus, hanya 50 akhbar dicetak dan dijual.

Malah ketika penjajahan Jepun, Utusan Melayu dan Warta Malaya digabungkan di bawah satu nama yang dinamakan Malai Shimbun. Ketika ini, akhbar Utusan hanya dijadikan sebagai alat propaganda Jepun semata-mata.

Tidak lama kemudian pada September 1945, Yusof Ishak cuba untuk menghidupkan semula Utusan Melayu walaupun segala mesin dan kelengkapan mereka musnah ketika perang. Akhirnya ia diterbitkan pada 1 November 1945.

Jasa Utusan Melayu kepada perjuangan menentang Malayan Union boleh dianggap terlalu besar apabila mengajak orang Melayu membantah sekeras-kerasnya tindakan British itu.

Misalnya ketika hari pengisytiharan Malayan Union itu, Utusan Melayu mengajak orang Melayu memulaukan majlis tersebut dan melilit kain putih pada songkok serta memakai­nya selama seminggu sebagai tanda berkabung.

Selepas itu, Utusan Melayu terus unggul menjadi suara ke­ramat orang Melayu sehinggalah negara mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957.

Pada Februari 1958, ibu pejabat Utusan Melayu telah dipindahkan ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur dan ia telah memperkukuhkan kedudukannya serta terus memainkan pe­ranan utama sebagai penyum­bang aktif dalam pembangunan ekonomi, sosial dan politik Ta­nah Melayu.

Selepas hampir tiga dekad diterbitkan dalam tulisan jawi, Utusan Melayu beralih kepada tulisan rumi dengan nama Utusan Malaysia pada 1 September 1967.

Sejak itu ia terus berkembang sehingga mencatatkan jualan sehingga 300,000 naskhah sehari.

Malah tulisan dan pandangan pojoknya menerusi Awang Selamat sentiasa dinantikan pelbagai pihak.

Tetapi pasca Pilihan Raya Umum 2018, mencatatkan sejarah hitam buat Utusan Me­layu apabila tumbangnya UMNO yang juga pemegang saham utama sehingga syarikat itu terus mencatatkan kerugian demi kerugian.

Tanggal 21 Ogos 2019 menjadi titik hitam, apabila syarikat Utusan Melayu terpaksa menghentikan operasi pada ulang tahun­nya ke-80. Namun ia dihidupkan semula di bawah syarikat baharu, Media Mulia Sdn. Bhd pada tahun berikutnya.

Akhbar itu kembali dilancarkan pada 20 Julai 2020 bersama dengan satu lagi penerbitan di bawah syarikat tersebut, Kosmo! yang juga dihentikan opera­sinya pada 2019.

Maka tepatlah lirik lagu Utusan Melayu, Suara Keramat iaitu ‘Zaman ke zaman Utusan me­langkah maju’, legasi akhbar ini masih dipertahankan sehingga kini.

Utusan Melayu bukan sekadar akhbar, sebaliknya ia merupakan satu institusi yang perlu dipertahankan kerana jasanya terhadap perjuangan menuntut kemerdekaan dan penentangan penjajah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×