Dua jemaah haji terkandas di Mekah tidak dapat pulang

Dua jemaah haji terkandas di Mekah tidak dapat pulang

haji
ADA jemaah haji Malaysia kini dikatakan terkandas di Mekah selepas pasport mereka dipegang agensi pelancongan sekali gus tidak boleh pulang ke tanah air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ada jemaah haji Malaysia kini terkandas di Mekah selepas pasport mereka dipegang agensi pelancongan sekali gus tidak boleh pulang ke tanah air.

Perkara itu didedahkan oleh seorang penasihat undang-undang yang memaklumkan ibu bapanya merupakan individu yang terkandas itu.

Wanita itu yang mahu dikenali sebagai Ena, 33, berkata, ibu bapanya juga antara yang terkait dengan isu tiga jemaah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, ibu bapanya mengambil pakej haji menggunakan visa pelancong yang diuruskan sebuah agensi pelancongan beribu pejabat di Seri Kembangan, Selangor.

“Ibu bapa saya berlepas ke Mekah pada 2 Mei lalu menggunakan visa pelancong untuk mengerjakan haji yang diuruskan agensi pelancongan ber­kenaan.

“Bagaimanapun, hari ini bapa saya memaklumkan agensi itu gagal menyediakan visa haji seperti dijanjikan dan ibu bapa saya ingin menarik diri (mengerjakan haji) kerana bimbang berdepan risiko ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Malah, agensi tersebut turut mengenakan syarat supaya ibu bapa saya menandatangani surat perakuan agar tidak mendedahkan perkara itu (gagal menyediakan visa haji) kepada orang awam jika tidak mahu berdepan tindakan saman.

“Saya menasihatkan mereka (ibu bapa) supaya tidak menandatangani surat itu kerana ia berbaur ugutan, seolah-olah agensi terbabit mahu melepaskan diri daripada kesalahan yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, agensi berkenaan tidak memberi kerjasama untuk mengembalikan pasport bagi membolehkan ibu bapanya pulang ke tanah air.

Ena berkata, dia dimaklumkan ada 16 lagi jemaah haji tempatan berdepan situasi sama dan kesemua mereka kini me­netap di Hotel Jawad Al Taj, Mekah.

Menurutnya, dia sudah membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan semalam dan meminta pihak berkuasa me­nyiasat.

“Saya juga memohon bantuan daripada Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang berada di tanah suci supaya dapat membantu ibu bapa saya termasuk mangsa lain yang berdepan isu sama untuk dibawa pulang ke Malaysia.

“Saya bersedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk memberi maklumat berkenaan agensi pelancongan berkenaan bagi mengelak lebih ramai mangsa diperdaya pada masa depan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini