MEKAH: Percutian berbulan madu yang melibatkan lokasi romantik sebagaimana kelaziman bukanlah menjadi pilihan untuk pasangan pengantin baharu, Muhammad Rabbani Roslan 27, dan Nur Izzati Thaqifah Samsol Bahari, 25.
Sebaliknya, berkunjung ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan haji disifatkan antara paling bernilai bagi kedua-dua mereka yang berkahwin kira-kira sembilan bulan lalu.
Menurut Muhammad Rabbani yang berasal dari Selangor, keputusan untuk menunaikan haji bersama isteri dibuat bagi memohon keberkatan Allah SWT dalam menjalani kehidupan berumah tangga.
“Saya juga mahu berdoa agar diberikan zuriat yang soleh dan solehah nanti selain memohon agar mendapat kebahagian,” katanya.
Dalam pada itu Muhammad Rabbani berkata, dia sememangnya membuat simpanan sejak kecil lagi untuk menunaikan haji.
“Namun ada satu ketika saya bimbang duit simpanan untuk pergi menunaikan haji tidak cukup sebab masa itu saya nak simpan duit untuk berkahwin.
“Alhamdulillah, di saat-saat akhir, Allah SWT cukupkan wang simpanan saya untuk menunaikan haji,” jelasnya yang membuat permohonan rayuan selepas isterinya menerima tawaran menunaikan haji tahun ini.
Dalam pada itu, Nurul Izzati Tahiqifah berkata, dia mula mendaftar haji pada tahun 2008 hasil tabungan ibunya selain duit simpanan hari raya.
“Tawaran kali pertama untuk menunaikan haji diterima ketika Covid-19, selepas itu tawaran kedua pada 2022 tetapi saya minta tangguh kerana kami hendak berkahwin pada tahun tersebut.
“Alhamdulillah disebabkan itu, rezeki saya dapat pergi berdua ke Tanah Suci dengan suami apabila dapat buat rayuan mahram,” katanya yang merupakan pelajar jurusan kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM). – UTUSAN










