SPM cemerlang: Doa Ameer termakbul

SPM 2023: Doa Ameer termakbul

MUHAMMAD Ameer Che Noor Azam ditemani ibu bapa menunjukkan keputusan cemerlang SPM 2023 di Mekah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Doa Muhammad Ameer Che Noor Azam 18, agar diberikan kejayaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika me­ngunjungi Raudah dua minggu lalu termakbul apabila mempe­roleh 9A.

Malah, kejayaan tersebut lebih bermakna apabila keputusan cemerlang yang diterima se­rentak semasa berada di Mekah untuk bergelar duyufurrahman.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Utama Satu itu, dia sangat bersyukur dengan pe­ngorbanan ibu bapa yang bukan hanya memberikan pelajaran terbaik, tetapi berusaha keras menabung dan membawanya ke tanah suci untuk menunaikan haji.

“Masa pertama kali melihat keputusan, saya sangat gembira sebab tidak pernah sebelum ini mendapat ‘A’ dalam semua mata pelajaran.

“Apatah lagi ini merupakan satu kejayaan berganda untuk saya selepas dijemput Allah SWT untuk menjadi tetamunya mengerjakan haji di usia muda.Dalam masa yang sama Allah SWT terima doa saya di Raudah untuk mencatatkan kejayaan SPM 2023,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Ameer ketika ditanya tentang rahsia mencatatkan kejayaan cemerlang berkata, konsep persaingan sihat yang diterap bersama seorang pelajar sekelas berjaya membuahkan hasil.

“Sewaktu berada tingkatan empat dan baru lepas penularan wabak Covid-19, saya perlu belajar semula kerana banyak yang tertinggal. Maklumlah saya banyak ponteng apabila belajar dalam talian sehingga menyebabkan ada prestasi subjek menurun.

“Daripada situ saya dekati rakan sekelas bernama Soo Chi Jian yang merupakan pelajar pintar. Dia tidak jemu mengajar saya dan saya dengan sendirinya mempunyai motivasi untuk mencapai keputusan peperiksaan seperti dia,” jelasnya yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

Tambah Muhammad Ameer yang bercita-cita menjadi jurutera ataupun doktor, dia tidak mempunyai jadual khusus untuk mengulangkaji pelajaran ketika berada zaman persekolahan.

Malah katanya, jadual hariannya lebih fleksibel dan tidak ketat sebagaimana segelintir pelajar lain.

“Kalau saya rasa nak rehat, saya akan rehat sahaja tanpa perlu memikirkan jadual yang padat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×