PETALING JAYA : Satu siasatan dijalankan polis terhadap Chef selebriti terkenal, Chef Wan berhubung hantaran di media sosial yang didakwa bersifat perkauman membabitkan bintang tersohor, Aishwarya Rai baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya mengesahkan berkaitan laporan yang dibuat membabitkan selebriti terbabit.
“Laporan berkaitan perkara terbabit diterima pada 24 Mei lalu dan siasatan kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” katanya di sini.
Bagaimanapun menerusi laporan Mingguan Wanita, Chef Wan secara peribadi meminta maaf di atas kenyataan komen dikeluarkannya.
Baru-baru ini, tular di media sosial hantaran di media sosial yang bersifat perkauman membabitkan bintang tersohor, Aishwarya Rai.
Menerusi komen terbabit Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail didakwa memuat naik komen dengan berkata, gaun yang dipakai bekas ratu cantik di karpet merah di Festival Filem Cannes itu seperti membawa kavadi ke upacara Thaipusam di Batu Caves.











