BALIK PULAU : Seorang peniaga wanita didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki 102 unit peralatan lucah berupa mainan seks, kira-kira tiga bulan lalu.
Tertuduh, Sarah Phoon, 29, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting melalui seorang jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki alat-alat lucah iaitu berupa peralatan mainan seks sebanyak 102 unit di premis yang beroperasi di sebuah pusat belah-belah popular di Bayan Lepas, kira-kira pukul 2.30 petang, 6 Februari lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Pengawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mahadzir Saad manakala tertuduh pula diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Teh Yi Kai.
Terdahulu, ketika prosiding, Yi Kai memohon mahkamah untuk mengurangkan jumlah jaminan berikutan tertuduh perlu menanggung ibu bapa serta dua adiknya yang sedang menuntut di sebuah kolej swasta selain hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,800 sebulan.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM2,000 atau dipenjara selama dua bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya selesai di mahkamah itu.-UTUSAN











