‘Pandai atau tidak, semua boleh mohon TVET’

‘Pandai atau tidak, semua boleh mohon TVET’

LEPASAN Sijil Pelajar Malaysia yang cemerlang atau tidak kini boleh memilih melanjutkan pelajaran dalam Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang mendapat keputusan kurang cemerlang boleh memilih untuk menyertai Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasio­nal (TVET).

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan berkata, mereka dan ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kerajaan telah menyediakan akses pendidikan tinggi kepada kumpulan itu melalui TVET.

“Kita harus faham bahawa TVET ini adalah untuk semua dan Malaysia telah membuka laluan yang seluasnya kepada semua anak muda untuk mendapatkan pendidikan sama ada pendidikan tinggi mahupun latihan kemahiran.

“Cuma isunya ialah sejauh mana kesedaran anak muda kita khususnya lulusan SPM bagi mendapatkan maklumat dan informasi,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Laporan Analisis Keputusan SPM 2023, sebanyak 60.6 peratus atau 226,358 calon daripada 373,525 calon baharu telah lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki.

Pada masa sama, seramai 1,467 calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun lalu gagal dalam semua mata pelajaran selepas mendapat gred G atau gagal.

Mengulas lanjut, Mohammad Rizan berkata, lepasan SPM sama ada cemerlang atau sebaliknya harus mendapatkan nasihat daripada guru bimbingan, kaunseling dan kerjaya.

Katanya, tindakan itu kerana mereka mempunyai banyak informasi dalam membimbang para pelajar terutamanya memilih pendidikan tinggi.

“Pastinya Malaysia tidak mengenepikan anak muda dan kita membawa semangat tiada seorang pun yang tertinggal dalam konteks akses pendidikan dan latihan di negara ini.

“Namun, konsep TVET untuk semua bukan hanya untuk mereka yang gagal, tetapi ruang turut terbuka luas kepada mereka yang mendapat keputusan baik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, akhbar ini semalam melaporkan, program TVET sedia menawarkan sehingga 100,000 tempat kepada pemohon untuk mengikuti pelbagai kursus kemahiran di 1,345 institusi seluruh negara.

Permohonan itu diselaraskan melalui saluran tunggal permohonan kemasukan kursus TVET iaitu sistem UP_TVET bagi memastikan tiada siapa tercicir.

Penggunaan saluran tunggal UP_TVET adalah bersifat  fleksibel dengan mengambil kira keperluan pelbagai syarat masuk bagi ambilan sesi perdana dan ambilan sepanjang tahun untuk membuka ruang seluasnya kepada rakyat menyertai program TVET. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×