KLANG: Ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Bersatu dinasihatkan berunding dengan speaker dewan masing-masing bagi menentukan keperluan pengosongan kerusi-kerusinya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, speaker yang akan menentukan kekosongan tersebut dan Bersatu perlu berbincang apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan perlembagaan mereka.
“Justeru, Bersatu perlu berbincang dengan Speaker Dewan Rakyat dan negeri jika kesemua kerusi ini didapati kosong, memandangkan ROS telah meluluskan pindaan perlembagaan parti itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR), hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa kekosongan kerusi yang disandang oleh enam ahli parlimen dan satu ADUN perlu dikosongkan berdasarkan Akta Lompat Parti 2022.
Menurutnya, speaker dan wakil rakyat berkenaan tidak perlu membuat tafsiran terlalu sukar terhadap klausa dalam akta tersebut serta pindaan Perlembagaan Bersatu berkuatkuasa pada April lalu.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian memaklumkan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masih belum membuat sebarang perbincangan berhubung kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) di enam Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Kekosongan itu sebelum ini dijangkakan apabila kesemua penyandangnya menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berulang kali menyatakan kesemua kerusi tersebut adalah milik UMNO yang ditandingi parti itu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“Apapun, Pengerusi BN dan Pengerusi PH pastinya akan berbincang terlebih dahulu sebelum membuat keputusan siapa yang bertanding di kesemua kerusi ini,” ujarnya.
Terdahulu seramai enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN dilapor berpaling tadah apabila bertindak menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
Kemudian Datuk Suhaili Abdul Rahman(Labuan), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin, Datuk Dr. Dzulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Datuk Abdul Rashid Asari (ADUN Selat Klang). – UTUSAN










