JOHOR BAHRU: Pelbagai jenis daging sejuk beku termasuk daging babi seberat 135 tan yang dibawa masuk ke negeri ini melalui Singapura dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, rampasan tersebut dibuat menerusi dua operasi berasingan di Lebuh Raya Pasir Gudang dan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada 21 Mei lalu.
Katanya, kesemua daging sejuk beku berkenaan dibawa masuk menggunakan lima buah lori berasingan.
“Pemeriksaan rapi dibuat mendapati kesemua lori itu membawa muatan daging babi, daging lembu, dada ayam dan kepak ayam yang tidak diikrarkan dan tidak mempunyai permit.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM2.1 juta, manakala kelima-lima pemandu lori berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan RM10,000 seorang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Aminul Izmeer, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, dalam sidang akhbar sama, Aminul Izmeer memberitahu, pihaknya turut merampas 70,000 peranti dan cecair rokok elektronik bernilai RM971,942 dalam operasi di sebuah gudang di Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 2 petang, 14 Mei lalu.
“Kesemua barang kes telah disita manakala usaha sedang dijalankan untuk mengesan pemilik premis,” ujarnya, menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN










