Orang Asli mahu KWSP buka pejabat di Gua Musang

Orang Asli mahu KWSP buka pejabat di Gua Musang

MASYARAKAT Orang Asli menunggu giliran untuk berurusan di kaunter bergerak KWSP di Pusat Khidmat ADUN Galas di Bandar Utama, Gua Musang semalam. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli mahu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuka pejabat cawangan di daerah ini bagi kemudahan penduduk luar bandar dan pedalaman.

Seorang penduduk Orang Asli Pos Tohoi, Rihan Asup, 27, berkata, mereka perlu ke Pejabat KWSP di Kuala Krai atau Kuala Lipis, Pahang sekiranya ada urusan terdesak berkaitan KWSP.

Menurutnya, kebanyakan penduduk Orang Asli tidak mampu untuk pergi kedua-dua lokasi berkenaan kerana jaraknya lebih 100 kilometer.

“Saya dan penduduk lain yang tinggal di kawasan pedalaman akan keluar awal pagi menunggang motosikal atau menyewa kenderaan untuk melakukan urusan berkaitan KWSP.

“Kami berharap cawangan KWSP dapat diwujudkan di bandar ini kerana ramai rakyat yang mahukan manfaat melalui skim yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui semalam.

Rihan memberitahu, ketika ini, kaunter bergerak KWSP beroperasi di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas di Bandar Utama di sini dua kali seminggu, dan orang ramai terpaksa beratur panjang untuk berurusan.

Seorang lagi penduduk, Jelani Angah, 45, berkata, sebuah pejabat cawangan KWSP perlu dibuka di bandar ini kerana semakin ramai rakyat termasuklah Orang Asli sedar tentang kepentingan mencarum KWSP.

Katanya, penduduk Orang Asli datang satu atau dua jam lebih awal untuk melakukan urusan di kaunter bergerak KWSP setiap minggu.

“Saya datang untuk mengemaskini akaun fleksibel KWSP, namun terpaksa menunggu lama sebelum dilayan. Saya melihat setiap minggu bilangan pencarum KWSP yang mahu melakukan urusan semakin bertambah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×