Seludup skuter elektrik untuk lupus di Malaysia - Utusan Malaysia

Seludup skuter elektrik untuk lupus di Malaysia

NORLELA (tengah) menunjukkan skuter elektrik yang dirampas pihaknya di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Klang hari ini.-FOTO/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Cubaan sindiket menyeludup ratusan skuter elektrik dari Eropah untuk dilupuskan di negara ini gagal selepas dirampas pihak berkuasa di Pelabuhan Barat di sini, 20 Mac lalu.

Kesemua skuter terpakai yang diikrarkan sebagai aloi aluminium itu dipercayai mahu dihantar kepada pihak tertentu menerusi kontena bagi pelupusannya.

Namun, helah itu berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit Dua (Selangor) yang menjalankan pemeriksaan rapi ke atas sebuah kontena di pelabuhan tersebut.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, semakan pihaknya mendapati tiada permit import dikemukakan bagi barangan yang dikirim dari sebuah negara di Eropah itu.

Jelas beliau, pemeriksaan membawa kepada penemuan 700 unit skuter elektrik terpakai yang nilai dagangannya berjumlah RM420,000.

“Pihak sindiket membuat pengikraran palsu dengan mengikrarkan ia sebagai ‘aluminium alloys’ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kita masih mengesan pihak atau syarikat di negara ini yang terlibat dalam penyeludupan itu dipercayai bagi tujuan pelupusan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini, hari ini.

Tambah Norlela, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×