JOHOR BAHRU: Seramai 1,247 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang dengan 20 daripadanya memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran.
Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd. Hanafi Samad berkata, Johor merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) 4.48 mata pada tahun lalu, mengatasi pencapaian GPN Nasional pada 4.60 mata.
Beliau berkata,berdasarkan kepada analisis pencapaian keputusan SPM mulai 2019 hingga 2022, pencapaian ini merupakan terbaik dalam tempoh lima tahun, mengatasi GPN Nasional selama lima tahun berturut-turut.
“Bagi keputusan tahun ini, seramai 1,247 calon SPM 2023 berjaya memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 1,129 calon pada tahun sebelumnya,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2023 di Bangunan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini hari ini.
Katanya, secara keseluruhan seramai 42,221 calon menduduki SPM dengan 38,760 calon layak dapat sijil.
Tambahnya, peningkatan peratus calon yang layak mendapat sijil (LMS) iaitu 93.8 peratus berbanding 91.54 peratus pada tahun sebelumnya.
“Seramai 133 calon berkeperluan pendidikan khas turut menduduki SPM dengan dua orang memperoleh 9A, seorang 8A dan dua orang 7A,” katanya. – UTUSAN










