TAPAH: Pelajar Sekolah Menengah Sains Tapah, Fifi Nurfatin Marjaidi Hirwan membuktikan pelajar Orang Asli juga cemerlang dalam pelajaran apabila meraih keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumum kelmarin.
Fifi Nurfatin, 18, memperoleh A+ bagi subjek Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik dan A bagi Bahasa Inggeris, Fizik dan Kimia serta A- subjek Matematik Tambahan dan Biologi.
Fifi Nurfatin dari suku kaum Semai merupakan satu-satunya pelajar Orang Asli di Perak yang meraih semua A dalam mata pelajaran daripada keseluruhan 543 calon Orang Asli yang menduduki peperiksaan itu tahun lalu.
Menurutnya, tekad untuk membanggakan kedua ibu bapanya, Noorhayati Alang, 40, dan Marjaidi Hirwan Sinak, 40, menjadi inspirasi kepadanya untuk mencapai keputusan cemerlang.
Katanya, mereka sentiasa memberi galakan dalam pelajaran selain mengingatkannya tidak lupakan solat manakala emaknya memberitahu supaya tidak membanding-bandingkan dirinya dengan orang lain.
“Saya gembira kerana berjaya mencatat keputusan ini. Ketika membuat semakan keputusan secara dalam talian, kami semua menangis kegembiraan dengan keputusan yang saya raih.
“Saya harap keputusan SPM saya ini memberi inspirasi kepada pelajar lain bahawa anak Orang Asli juga mampu berjaya dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih baik.
“Saya mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti Institut Pendidikan Guru (IPG) demi mencapai cita-citanya menjadi seorang guru,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Genting, Chenderiang di sini. – UTUSAN










