GEORGE TOWN : Seorang suri rumah, Azizah Abdul Wahab, 43, tidak dapat menyembunyikan rasa terharu apabila dua anaknya tersenarai antara calon cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Pulau Pinang.
Uniknya, kedua-dua mereka iaitu Muhammad Huzaifah Raja Siraj Mohideen, 18, dan Nur Husnina, 18, digelar ‘kembar tahun’ kerana dilahirkan dalam tahun yang sama walaupun berbeza bulan kelahiran.
Azizah berkata, Muhammad Huzaifah yang juga merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul memperoleh 7A (3A+ dan 4A) manakala adiknya dari SMK Convent Greenlane pula mencatatkan keputusan 8A.
Katanya, jarak bulan kelahiran antara kedua-dua mereka adalah 11 bulan iaitu Muhammad Huzaifah dilahirkan pada Januari 2006 manakala adiknya pula pada bulan Disember tahun sama.
“Setiap kali sebelum tidur, saya akan berdoa kepada Allah SWT bahawa saya sentiasa reda (dengan ketentuan-Nya) sambil menyebut nama anak-anak saya supaya dipermudahkan urusan (kami).
“Kami bukan orang senang. Suami saya pula menghidap Parkinson, malah, anak langsung tidak mengikuti kelas tuisyen dan hanya belajar sendiri termasuk secara berkumpulan dengan rakan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di SMK Bukit Jambul di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Huzaifah pula memberitahu, dia hanya mula serius mengulangkaji pelajaran kira-kira sebulan sebelum menduduki kertas peperiksaan SPM untuk ujian bertulis.
“Saya dan adik (Nur Husnina) saling tolong-menolong dan bertukar pendapat. Saya juga belajar secara berkumpulan dengan rakan sekelas sama ada di rumah mereka mahupun di kedai makan,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang akauntan.
Terdahulu, Pengarah Pendidikan negeri, Said Hussain berkata, 15,655 daripada 17, 237 calon SPM 2023 layak mendapat sijil.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 755 daripada 17,237 calon SPM 2023 di Pulau Pinang memperoleh keputusan semua A.
“12 buah sekolah di Pulau Pinang mendapat Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik di mana SMK Bukit Jambul menduduki tempat pertama dengan GPS 1.53 diikuti SMKA Al-Irshad 1.74,” ujar beliau.-UTUSAN










