11,713 calon SPM 2023 dapat semua A

11,713 calon SPM 2023 dapat semua A

Azman Adnan bersama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Dasar dan Kukurikulum, Dr. Ahmad Rafee Che Kassim (kiri); Pengarah menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Operasi Sekolah Zainal Abas (dua kanan) pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2023 di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya, hari ini. -UTUSAN FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 11,713 atau 3.1 peratus daripada 373,525 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 pada 5 Disember 2023 hingga 7 Mac lalu memperoleh keputusan semua A.

Jumlah itu meningkat 0.4 peratus atau 1,604 calon berbanding 10,109 calon bagi SPM 2022.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan berkata, secara keseluruhan seramai 226,358 calon atau 60.6 peratus daripada 373,525 calon telah lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki.

Beliau berkata, peratus calon yang layak menerima sijil SPM juga meningkat kepada 93.5 peratus bagi SPM 2023 berbanding 91.6 peratus pada tahun 2022.

“Seramai 349,297 calon SPM 2023 layak dapat sijil iaitu peningkatan 6,555 calon berbanding 342,742 calon pada SPM 2022.

“Pencapaian itu dianggap terbaik sejak tahun 2013 berdasarkan syarat pensijilan SPM yang menetapkan calon sekurang-kurangnya lulus dua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman Analysis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 di sini, hari ini.

Katanya, secara keseluruhannya, Gred Purata National (GPN) bagi SPM 2023 adalah 4.60 iaitu lebih baik berbanding SPM 2022 (4.74).

Azman berkata, daripada 95 mata pelajaran yang diduduki calon pada SPM 2023, 66 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 25 mata pelajaran mencatatkan penurunan dan empat mata pelajaran  tidak berubah atau kekal prestasi.

Menurutnya, prestasi kesemua mata pelajaran teras dalam  peperiksaan SPM 2023; iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains menunjukkan peningkatan.

“Mata pelajaran Pendidikan Moral menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi, iaitu sebanyak 0.20 mata, manakala mata pelajaran Bahasa Melayu pula menunjukkan prestasi terbaik dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 3.86 mata,” katanya.

Bagi Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) pula, Azman berkata, sebanyak 78.9 peratus daripada 1,726 orang calon layak memperoleh sijil SPM 2023 berbanding 75.8 peratus pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 3.1 peratus atau 233 calon. 

Jelasnya lagi, pencapaian SPM 2023 bagi kedua-dua kategori calon bandar dan luar bandar juga telah menunjukkan peningkatan namun, jurang pencapaian calon antara bandar dan luar bandar tetap kekal, iaitu pada 0.43 mata seperti peperiksaan SPM 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN