KUANTAN: Dua adik beradik yang mewakili Pahang bagi kategori hafazan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi mula menghafal ayat-ayat suci al-Quran sejak berusia 13 tahun.
Dua beradik itu, Abd. Hakim Abd. Hamid Zawawi, 25, yang bertanding bagi kategori hafazan juzuk satu hingga 30 dan Abdul Haris, 19, juzuk satu hingga 20, mula mendalami bidang tersebut ketika menuntut di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Tengku Ampuan Afzan, Pekan, dekat sini.
Utusan Malaysia difahamkan, pasangan adik beradik berkenaan sudah menguasai bacaan al-Quran seawal usia tujuh tahun dengan hanya bergurukan bapa mereka seorang kakitangan swasta dan ibu seorang suri rumah.
Ketika ditemui, Abd. Hakim berkata, penyertaan peringkat kebangsaani adalah yang kedua buatnya selepas kali pertama mewakili negeri ini, 10 tahun lalu.
“Saya memasuki pertandingan kali ini kerana ia tahun terakhir saya memandangkan kategori hafazan had usianya sehingga 25 tahun sahaja.
“Ibu bapa turut memberikan semangat untuk saya kembali bertanding.
Matlamat saya hanya untuk melakukan yang terbaik dan dalam masa sama dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada para pendengar,” katanya ketika ditemui di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
Abd. Hakim yang juga pensyarah Program Tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) itu berkata, lebih mengujakan apabila adik bongsunya turut bersama dalam pertandingan kali ini sekali gus berharap agar mereka berdua dapat menjadi johan bagi kategori yang disertai.
Berkongsi tip mudah bagi menghafal, beliau berkata, apa yang utama adalah sentiasa mengulangi bacaan ayat suci al-Quran sekurang-kurangnya tiga juzuk sehari.
“Saya mengambil masa setahun tiga bulan untuk menghafal keseluruhan al-Quran dan selepas itu saya akan mengulangi semula. Kalau kita tinggal al-Quran, al-Quran akan tinggal kita (lupa),” ceritanya. – UTUSAN










