KUALA TERENGGANU: Para peniaga dan penggiat industri pelancongan di negeri ini mendapat durian runtuh dengan kunjungan ribuan pelancong sempena cuti sekolah.
Bermula semalam, destinasi pelancongan popular mula dipenuhi pelancong tempatan menjadikan penjaja dan peniaga kecil tidak menang tangan dan tersenyum lebar apabila mampu meraih pendapatan dua kali ganda.
Pemilik kedai makan di Losong, Norazni Amira Hassan, 41, berkata, kedai nasi campur miliknya diserbu pelanggan yang ingin menikmati makanan tradisional Terengganu.
Menurutnya, antara menu yang terpaksa ditambah ialah ikan singgang, lauk lemak sotong dan jambu golok, aneka kerabu serta singgang daging.
“Bilangan pekerja juga terpaksa ditambah kepada lima orang untuk memastikan pelanggan mendapat hidangan mereka dengan cepat.
“Alhamdulillah, bersyukur sangat kerana pelanggan tidak henti-henti datang sejak semalam dan saya jangkakan situasi ini berterusan hingga 4 Jun,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Selain Pasar Kedai Payang, turut menjadi tumpuan pelancong ialah Pantai Batu Buruk, Taman Tamadun Islam, Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Payang Walk, Tasik Kenyir di Hulu Terengganu, Pantai Penarik di Setiu dan pulau-pulau peranginan.
Sementara itu, peniaga keropok lekor di Kuala Ibai, Nurul Hanani Hamid, 45, berkata, ramai pelancong luar datang ke kawasan tersebut untuk membeli makanan tradisional Terengganu sebagai buah tangan untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan dan saudara-mara.
Katanya, kebanyakan pelanggan mengakui rindukan keenakan keropok lekor yang dijual di negeri ini kerana rasanya tidak sama seperti di tempat lain.
“Mereka juga sanggup memborong keropok lekor sejuk beku untuk dibawa pulang ke tempat asal sebagai stok kudap-kudapan kerana ia lebih tahan lama dengan keenakan rasa yang tidak terjejas,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta dari Segamat, Johor, Nurul Aini Shaliza Azmani, 38, berkata, dia suka melancong ke Terengganu kerana keindahan pantainya yang belum tercemar.
“Lagipun di sini suasananya sangat tenang dan masyarakatnya pula sangat ramah dengan orang luar.
“Selain itu, warisan kebudayaan, makanan yang enak dan ciri-ciri masyarakat tradisional maritim juga menarik perhatian saya untuk terus menjadikan Terengganu sebagai destinasi percutian pilihan yang murah
dan berbaloi,” katanya yang datang bersama empat adik-beradiknya dengan keluarga masing-masing. – UTUSAN











