PETALING JAYA: Duopharma Biotech Bhd. (Duopharma Biotech) menjangkakan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) yang kukuh, tarif elektrik yang tinggi dan kadar faedah akan memberi kesan kepada margin pengeluaran dan keuntungan keseluruhan syarikat.
Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, kumpulan tetap memberi tumpuan kepada meningkatkan kecekapan operasi secara dalaman untuk meredakan lonjakan kos operasi dan kewangan yang disebabkan oleh cabaran ini.
“Cabaran yang berterusan seperti peningkatan nilai dolar AS, tarif elektrik yang tinggi dan kadar faedah yang tinggi terus memberi tekanan kepada margin pengeluaran dan keuntungan keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.
Duopharma Biotech melaporkan penurunan pendapatan pada RM192.97 juta untuk suku pertama berakhir pada 31 Mac 2024, 3.7 peratus lebih rendah, berbanding RM200.48 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
“Keuntungan sebelum cukai (PBT) juga lebih rendah pada RM20.10 juta, berbanding RM28.29 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, dengan penurunan sebanyak 29.0 peratus,” katanya.
Sementara itu, PBT untuk suku pertama tahun kewangan 2024 mengalami pemulihan yang signifikan berbanding suku sebelumnya, dengan jumlah yang 185.8 peratus lebih tinggi daripada PBT sebanyak RM7.03 juta yang dicatatkan dalam suku keempat tahun kewangan 2023.
“Penurunan pendapatan dan PBT tahun ke tahun didorong oleh permintaan yang lebih rendah dalam pasaran farmaseutikal preskripsi, sama ada dalam segmen etika swasta atau kesihatan awam,” katanya.
Selain itu, peningkatan kos operasi yang berkaitan dengan operasi penuh fasiliti K3 yang baru siap, kos kewangan yang lebih tinggi dan kadar pertukaran yang tidak menguntungkan turut menyumbang kepada penurunan keuntungan.
Baru-baru ini, subsidiari Duopharma Biotech, Duopharma (M) Sendirian Berhad dan Duopharma Manufacturing (Bangi) Sdn. Bhd. masing-masing menerima tujuh dan empat Surat Tawaran dari Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. untuk membekalkan produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada pejabat dan kemudahan Kerajaan Malaysia.
Semua kontrak sah sehingga 31 Disember 2026 dengan nilai anggaran keseluruhan sebanyak kira-kira RM578.09 juta.-UTUSAN










