MELAKA: Seorang anggota tentera berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi pertuduhan mencabul kehormatan seorang remaja perempuan di dalam kereta, tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Zuhaimi Mat Saad, 33, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencabul kehormatan seorang perempuan berusia 18 tahun ketika kejadian di dalam kereta berhampiran sebuah kedai di Cheng dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 17 Mei 2023.
Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-dua daripada hukuman tersebut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon tarikh sebutan baharu dan mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili tertuduh merayu jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh yang juga seorang duda anak dua masih bertugas dan tinggal di Kem Sungai Udang.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 29 Julai depan untuk serahan dokumen. – UTUSAN










