MEKAH: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) meyifatkan cadangan Kementerian Pengangkutan bagi pembinaan terminal khas untuk jemaah haji dan umrah mampu memberi kesan positif dalam melancarkan urusan jemaah.
Malah Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ia merupakan kesinambungan kemudahan yang diperoleh jemaah haji Malaysia sebelum ini.
“Setakat ini belum ada lagi mana-mana negara yang mempunyai terminal khas seperti ini dan untuk Makkah Route ini hanya ada tujuh negara sahaja yang menerima kemudahan tersebut.
“Justeru cadangan seperti ini akan dibincangkan secara teliti di peringkat kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi,”katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di sini hari ini.
Sebelum ini Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberi cadangan agar satu terminal khas untuk jemaah haji dan umrah di Kuala Lumpur diwujudkan. – UTUSAN










