KUANTAN: Isteri pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan dengan jalan menggunakan racun ke atas suami dan ibu mentuanya lima tahun lalu.
Tertuduh, Datuk Mou Ei Leen @ Eileen Mou, 42, membuat pengakuan terbabit dihadapan Hakim Azman Mustapha ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ke atas suaminya di rumah No. 2, Lorong Seri Kuantan 23, di sini, pada Julai 2019.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terbabit ke atas ibu mertuanya di Sara’s Home for The Aged beralamat No. 4, Lorong Seri Kuantan 59, di sini pada Jun 2020.
Bagi kedua-dua pertuduhan, jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum dibawah Seksyen 328 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqharie Durranie Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Bob S. Arumugam.
Pihak pendakwaan mencadangkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat dan perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Peguam tertuduh bagaimanapun meminta agar yang jaminan dikurangkan berikutan tertuduh merupakan seorang ibu kepada dua orang anak berusia 15 dan 12 tahun selain dalam proses untuk bercerai dengan suaminya.
Hakim kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjanin bagi kedua-dua pertuduhan selain meminta agar tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Mahkamah juga mengarahkan tertuduh supaya tidak mengacau ganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai dan menetapkan 27 Jun sebagai tarikh penyerahan dokumen dan sebutan semula kes.










