PETALING JAYA: Maybank melaporkan peningkatan 9.8 peratus keuntungan bersih sebanyak RM2.49 bilion bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024, berbanding RM2.26 bilion pada suku tahun sebelumnya.
Menurut kenyataannya, keputusan yang membanggakan ini didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam fi teras serta peningkatan dalam perbendaharaan dan keuntungan pasaran yang menyokong pendapatan operasi bersih kumpulan.
Bank keempat terbesar di Asia Tenggara berdasarkan aset itu berkata, pendapatan operasi bersih bagi suku tersebut meningkat kukuh 19.8 peratus kepada RM7.58 bilion.
“Ini terutamanya disebabkan oleh kenaikan 79.2 peratus tahun ke tahun yang kukuh dalam pendapatan bukan faedah (NOII) kepada RM2.74 bilion di sokong oleh fi teras yang bertambah baik meningkat 17.3 peratus serta pendapatan pelaburan dan perdagangan yang lebih kukuh.
“Pendapatan berasaskan dana bersih juga meningkat kepada RM4.84 bilion daripada RM4.80 bilion berbanding tahun sebelumnya disokong oleh peningkatan pinjaman kasar kumpulan yang tinggi sebanyak 11.2 peratus didorong oleh semua segmen utama di Malaysia, Singapura dan Indonesia.
“Margin faedah bersih (NIM) merosot 19 mata asas tahun ke tahun hasil daripada kos pendanaan yang lebih tinggi di seluruh pasaran utama,” katanya.
Tambahnya, peruntukan rosot nilai bersih berjumlah RM544.3 juta daripada RM292.9 juta setahun sebelumnya berikutan peningkatan peruntukan bersih untuk pinjaman sebanyak 29.9 peratus kepada RM467.77 juta dan RM76.49 juta untuk pelaburan kewangan dan lain-lain.
Hasilnya, kadar caj kredit bersih bagi pinjaman meningkat kepada 29 mata asas daripada 25 mata asas tahun sebelumnya.
“Nisbah pinjaman terjejas kasar bagaimanapun bertambah baik sebanyak 18 mata asas kepada 1.32 peratus daripada 1.50 peratus setahun sebelumnya, manakala perlindungan kerugian pinjaman kekal kukuh pada 127.3 peratus daripada 133.5 peratus pada suku yang sama 2023,” ujarnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pendapatan suku pertama yang membanggakan disokong oleh pendapatan yang kukuh, pertumbuhan deposit yang baik dan kualiti aset yang stabil.
Katanya, ini membuktikan daya tahan dan tumpuan Maybank dalam melaksanakan strategi M25+.
“Kami tetap nekad, menyesuaikan dan memajukan cara kerja tangkas untuk meneruskan kejayaan dalam inisiatif strategik demi memenuhi ekspektasi pelanggan.
“Kepimpinan kami dalam kemampanan meletakkan kami pada kedudukan yang baik menjangkau sasaran yang ditetapkan untuk melancarkan pembiayaan mampan dan solusi penyahkarbonan bukan sahaja kepada pelanggan korporat kami yang besar malah kepada firma bersaiz sederhana dan kecil,” jelasnya.-UTUSAN










