Tumbuk, ugut bunuh tunang: Lelaki didenda RM4,200 - Utusan Malaysia

Tumbuk, ugut bunuh tunang: Lelaki didenda RM4,200

MEGAT Amir Muhaimin Megat Azhar (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Tampin hari ini bagi didakwa tuduhan menumbuk serta mengugut tunangnya dalam kejadian di Rembau, minggu lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang lelaki didenda sebanyak RM4,200 di Mahkamah Majistret Tampin di sini, selepas dia mengaku bersalah menumbuk serta mengugut tunangnya dalam kejadian di Rembau, minggu lalu.

Tertuduh, Megat Amir Muhaimin Megat Azhar, 28, berasal dari Puchong, Selangor, membuat pengakuan berkenaan sebaik dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah kepada seorang wanita, majistret menetapkan hukuman denda sebanyak RM3,000 dan jika gagal bayar boleh dipenjara selamat 10 bulan.

Bagi pertuduhan kedua pula mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh telah didapati dengan sengaja menyebabkan cedera kepada wanita yang sama dengan cara menumbuk di bahagian pipi kanannya, oleh itu majistret menetapkan denda sebanyak RM1,200 dan jika gagal bayar empat bulan penjara.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi, di dalam kenderaan berhadapan sebuah restoran makanan segera di pekan Rembau, 17 Mei lalu.

Terdahulu tertuduh yang bekerja sebagai hos media sosial melalui peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Syuhada Mohd. Isa memohon agar hukuman diringankan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi dalam hujahannya memohon agar mempertimbangkan faktor hubungan antara tertuduh dan mangsa.

“Pasangan tunang tidak melayakkan tertuduh untuk mengasari mangsa sedemikian. Ini anak perempuan seseorang, ada laporan pemeriksaan awal kecederaan tisu lembut, pemeriksaan pada muka terdapat bengkak dan lebam, mohon hukuman setimpal,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×