KUALA KANGSAR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki yang mencederakan ibu kandungnya menggunakan sepana di Gerik Selasa lalu, menjalani pemeriksaan psikiatri.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Rohaida Ishak selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan berikutan tertuduh, Mohamad Helmi Hamzah, 29, tidak memahami pertuduhan berkenaan.
Mahkamah juga menetapkan 24 Jun depan untuk menerima laporan psikitri lelaki yang tidak diwakili peguam itu.
Terdahulu, Muhammad Firdaus memohon agar tertuduh menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan bagi mendapatkan laporan status mentalnya berikutan lelaki itu mempunyai rekod rawatan psikiatri..
Mengikut pertuduhan, Mohamad Helmi yang juga penganggur itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap ibu kandungnya berusia 54 tahun menggunakan sepana plug iaitu suatu alat yang jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin boleh menyebabkan kematian.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Bongor, Gerik pada pukul 6.30 pagi, 25 Mei 2024.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua hukuman berkenaan.
Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda bagi tempoh maksimum yang mana boleh dikenakan jika sabit kesalahan itu.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki ditangkap berikutan aduan dibuat ibu dan adik lelakinya yang mendakwa dicederakan suspek menggunakan sepana dan pisau pemotong getah.
Kedua-dua mangsa hadir ke Balai Polis Bersia dalam keadaan luka dan berdarah sekitar pukul 7.50 pagi.
Berdasarkan siasatan, kejadian berlaku ketika wanita berusia 54 tahun itu sedang solat sebelum dia diserang suspek yang bertindak memukulnya di bahagian muka dan badan sebelah kiri.
Adik lelaki suspek berusia 15 tahun yang mendengar jeritan ibunya cuba membantu wanita itu namun dia turut dipukul oleh suspek.
Hasil pemeriksaan oleh doktor di Hospital Gerik mendapati terdapat kesan lebam dan luka hirisan pada beberapa bahagian badan kedua-dua mangsa. – UTUSAN










