SEREMBAN: Kegiatan aktiviti judi dikesan berselindung di sebalik kedai kopi berdekorasi menarik dengan enam premis di daerah ini diserbu pihak polis semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, berdasarkan siasatan ada sesetengah premis yang pernah diserbu beberapa kali namun masih berdegil menjalankan aktiviti berkenaan.
“Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Seremban bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalankan satu operasi iaitu Op Pemotongan Khas di dalam kawasan daerah ini petang semalam.
“Dalam operasi ini, pihak polis dan TNB mengambil tindakan pemotongan serta pembekuan utiliti terhadap premis yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian,” katanya kepada pemberita di sini ini.
Difahamkan premis berkenaan dilihat mempunyai ciri-ciri persamaan dengan premis yang pernah diserbu polis sebelum ini dalam Op Pemotongan Khas dilaksanakan.
Jelas Mohamad Hatta, dalam operasi ini sebanyak enam premis berjaya diambil tindakan bagi pemotongan premis dan pembekuan utiliti selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Ini adalah tindakan susulan selepas diserbu sebelum ini bagi membendung dan mengekang penganjur untuk meneruskan kegiatan haram itu memandangkan ada premis yang masih meneruskan operasi walaupun pernah diserbu.
“Jika dilihat keenam-enam premis ini memiliki persamaan iaitu berselindung sebagai kedai kopi atau kafe dengan rekaan luarnya yang menarik seolah menutup kegiatan mereka daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Tambah beliau, pihak polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan kepada pihak polis.-UTUSAN.










