SHAH ALAM: Kerajaan akan mengumumkan insentif khas kepada pasukan sepak takraw negara apabila berjaya muncul sebagai juara dunia dalam kategori double dan regu pada Ahad ini.
Jumlah insentif tersebut akan diberitahu sebaik sahaja perlawanan akhir berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 tamat.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ketika ini beliau mahu pemain pasukan itu fokus dalam saingan berpasukan, yang bermula hari ini.
“Saya sendiri turun ke Stadium Titiwangsa bagi menyaksikan sendiri kedua-dua perlawanan akhir yang melibatkan pasukan Malaysia dan sambutan daripada rakyat Malaysia untuk menonton perlawanan semalam sangat membanggakan.
“Saya amat bangga dengan pencapaian dua pasukan negara, ini kali pertama kita menjadi juara dunia,” katanya kepada pemberita pada Hari Sukan Sekolah Kebangsaan (SK) USJ 12, semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan pasukan takraw Malaysia mencatatkan sejarah apabila dinobatkan sebagai juara dunia dalam dua kategori pada Piala Dunia kali ini, sejak temasya sukan itu diperkenalkan pada tahun 2011.
Lebih membanggakan, dua kejayaan tersebut tercatat selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand yang merupakan juara bertahan sejak Piala Dunia itu diperkenalkan.
Dalam pada itu, Hannah memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat berjumpa dengan pasukan takraw sebaik sahaja selesai lawatan kerjanya di beberapa buah negara.
“Saya memaklumkan kejayaan pasukan itu kepada Jemaah Menteri, Perdana Menteri sendiri mengucapkan tahniah kepada pasukan tersebut, sebaik sahaja mereka menang.
“Ini menunjukkan Perdana Menteri ambil tahu dengan perkembangan sukan tanah air walaupun beliau sibuk dengan urusan negara di luar negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hannah turut memuji usaha Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang menjual tiket Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada harga yang murah bagi memberikan peluang kepada rakyat Malaysia menonton perlawanan sepanjang temasya itu. – UTUSAN










