Tiada pakatan untuk jatuhkan Ebit - Saksi

Tiada pakatan untuk jatuhkan Ebit – Saksi

EBIT Lew ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Saksi kesembilan memberitahu mahkamah bahawa tiada pakatan membabitkan dirinya dengan Akhi Fairuz dan Firdaus Wong untuk menjatuhkan pendakwah terkenal, Ebit Lew.

Saksi yang juga pengadu dalam kes gangguan seksual melibatkan Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38,  memberitahu demikian semasa pemeriksaan utama dilakukan pihak pendakwaan.

Saksi itu menjawab demikian ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria sekiranya saksi ada pakatan untuk menjatuhkan Ebit Lew.

Saksi sama itu juga memberitahu, dia tidak pernah ditawarkan  apa-apa bayaran atau imbuhan untuk membuat laporan polis terhadap Ebit Lew.

Malah  saksi itu menjawab, dia juga tidak pernah dipaksa untuk membuat laporan polis.

Saksi menyatakan laporan polis yang dibuat atas adalah keputusan sendiri selepas berbincang dengan suaminya dan setelah melihat  paparan Facebook Akhi Fairuz.

“Selepas nampak paparan pada 26 Julai 2021, saya dan suami berbincang dan mengambil masa selama seminggu, seingat saya pada 2 Ogos 2021, saya tekad untuk buat laporan. 

“Apabila nampak ramai mangsa, saya rasa saya patut tampil ke depan supaya tiada lagi orang yang rosak ditangan Ebit Lew. Niat kami untuk hentikan perbuatan Ebit Lew agar tidak ada lagi mangsa seterusnya,” katanya semasa memberi keterangan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Saksi kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Aman pada 7 Ogos 2021.

Apabila pendakwaan bertanya mengapa saksi tidak menyekat nombor telefon Ebit Lew selepas menerima panggilan tertuduh tidak berpakaian, saksi memberitahu mahkamah dia ingin tahu kenapa Ebit Lew bersikap sebegitu sedangkan dia seorang pendakwah terkenal.

Ebit Lew berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Akhi Fairuz Al Jengkawi atau nama sebenarnya, Mohd. Fairuz Abu, 39, adalah  saksi pertama dalam kes tersebut manakala, Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Fung,41, saksi ketiga.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit Lew diwakili peguam Datuk Ram Singh dan Kamarudin Mohmad Chinki.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN