Lelaki warga asing ditahan bersama 9kg heroin - Utusan Malaysia

Lelaki warga asing ditahan bersama 9kg heroin

MOHD. YUSRI Hassan Basri (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Langkap Isnin lalu pada sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kegiatan seorang pengedar dadah warga asing menjual dadah di negeri ini sejak dua bulan lalu tumpas selepas dia ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Langkap, Teluk Intan, pada Isnin.

Lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun itu diberkas bersama dadah jenis heroin seberat 9,010 gram bernilai RM110,000.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, serbuan di lokasi berkenaan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada pukul 9.30 malam.

Katanya, pemeriksaan di dalam rumah telah menemui satu beg beroda berisi 20 peket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 9,010 gram.

“Berdasarkan siasatan, suspek masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen sah sejak Mac lalu dan aktif mengedar dadah dalam tempoh sama.

“Suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu juga dipercayai mendapat bekalan dadah dari negeri jiran di sebelah selatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut Mohd. Yusri, jumlah dadah yang dirampas dan disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan di negeri ini, boleh menampung penggunaan 11,000 orang penagih dadah.

Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati lelaki yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×