GEORGE TOWN : Malaysia mampu memberikan sumbangan yang lebih bermakna dalam isu berkaitan dialog antara agama, kebudayaan dan ketamadunan selain memahami serta mengharmonikan perkara tersebut di peringkat antarabangsa pada masa depan.
Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berkata, kemampuan itu bagaimanapun bergantung kepada kemahuan semua pemimpin politik di negara ini untuk menyokong teras pembangunan negara seperti yang terkandung dalam Perlembangaan dan Rukun Negara ketika ini.
“Tetapi, saya tahu ada dalam kalangan pemimpin parti politik ini yang tidak pernah menyokong kelima-lima prinsip dalam Rukun Negara itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Terdahulu, Kit Siang mengalu-alukan ‘ucapan mesra’ oleh Pengerusi Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak, Datuk Danald Jute berhubung perkara itu kepada komuniti Buddha sempena sambutan Hari Wesak pada hari ini.
Jute dalam ucapannya berkata, di dalam sebuah negara berbilang budaya, agama dan etnik seperti Malaysia, adalah penting untuk kita saling menghormati serta merayakan sebarang persamaan atau perbezaan.
“Mari kita meneguhkan kebaikan ini dalam diri masing-masing. Semoga dengan cara ini, kita boleh membantu membangunkan sebuah negara yang lebih aman, dihormati serta makmur. Selamat Hari Wesak,” kata Jute.
Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, ucapan Jute jelas bertepatan dengan Artikel 3 dalam Perlembagaan negara yang menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan manakala agama-agama lain juga boleh dipraktikkan secara aman dan harmoni di mana-mana bahagian dalam Persekutuan ini.
“Begitu juga dengan prinsip Rukun Negara yang menyatakan komitmen untuk menjamin pendekatan liberal terhadap warisan tradisional kita yang kaya dan pelbagai selain dua daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu ‘Kepercayaan kepada Tuhan’ serta ‘Kesopanan dan Kesusilaan’,” jelas beliau.-UTUSAN










