JOHOR BAHRU: Rakyat negeri ini tidak perlu bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan berlaku di Singapura walaupun terdapat penularan varian baharu di republik berkenaan.
Walaupun mengakui berlaku peningkatan kes Covid-19 di Johor, namun Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon menyifatkannya masih terkawal.
“Walaupun berlaku peningkatan kes di Singapura, kita masih kekal dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan sebelum ini, khususnya bagi golongan berisiko tinggi,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Wesak di Bandar Uda Utama, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh.
Tian Soon berkata, negeri ini merekodkan sebanyak 95 kes Covid-19 pada minggu ke-18 sebelum meningkat menjadi 138 kes pada minggu epid ke-19 dan kemudian 154 kes pada minggu epid ke-20.
Pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan sekiranya ada keperluan mengetatkan SOP susulan perkara tersebut bagaimanapun ketika ini SOP sedia ada masih terpakai.
“Johor juga tidak berdepan masalah kekurangan bekalan alat saringan Covid-19,” katanya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya sedang memantau trajektori gelombang peningkatan dua kali ganda kes Covid-19 yang dilaporkan di Singapura, baru-baru ini. – UTUSAN











