Suspek buang bayi di Pantai Dalam mungkin bukan penduduk setempat

Suspek buang bayi di Pantai Dalam mungkin bukan penduduk setempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan suspek yang disyaki terlibat membuang bayi perempuan di bawah sebuah kereta Proton Iswara di Apartmen Putra Ria, Pantai Dalam bukan penduduk setempat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, proses bedah siasat ke atas bayi berkenaan telah selesai namun punca kematian belum diperoleh.

“Punca kematian masih lagi menunggu keputusan makmal. Tetapi apa yang dapat dikenal pasti bayi itu bukan dibuang atau dibunuh. Kecederaan yang terdapat pada permukaan badan bayi tersebut adalah berpunca daripada haiwan kecil,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini hari ini.

Ku Mashariman berkata, kesan luka yang terdapat di pipi bayi berkenaan bukan disebabkan dera sebaliknya berpunca daripada gigitan haiwan kecil.

Beliau berkata, pihaknya kini masih mengesan suspek terlibat meskipun ada saksi-saksi yang memberikan beberapa petunjuk yang boleh dijadikan sebagai bukti.

“Kita perlu siasat secara mendalam kerana jika dilihat kawasan itu agak padat dan kekurangan fasiliti seperti CCTV. Kita sudah mendapati sedikit petunjuk  tetapi ia perlu dilihat dengan lebih lanjut ,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak enam saksi diambil keterangan termasuk orang yang menemukan bayi itu dan orang yang berada di sekitar kawasan berdekatan.

“Kita akan melihat dengan lebih mendalam kerana daripada siasatan kita kemungkinan besar daripada orang luar. Berdasarkan apa yang dilihat masyarakat yang berada di sana tidak ada yang hamil kerana bayi itu dilahirkan dalam keadaan cukup bulan,” ujarnya. 

Beliau berkata, bayi tersebut berkemungkinan besar adalah bayi warga asing mengikut keadaan fizikal. 

Terdahulu, mayat seorang bayi perempuan ditemukan di bawah sebuah kereta Proton Iswara ketika menyapu sampah di tempat letak kenderaan di apartment berkenaan.

Mayat bayi terbabit ditemukan dalam keadaan luka kecil di pipi kiri dan berada dalam keadaan yang cukup sifat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×