TAWAU: Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemukan di kawasan belukar berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa di sini, kira-kira pukul 6 pagi ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, bayi yang masih bertali pusat itu ditemukan seorang lelaki yang kemudian menghubungi pihak ambulans bagi mendapatkan bantuan.
“Saya mengesahkan penemuan bayi berkenaan dan bayi dibawa ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan kesihatan serta rawatan lanjut.
“Siasatan sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti identiti ibu kandung bayi berkenaan termasuk individu yang bertanggungjawab dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut mengesan saksi selain mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.
Jelasnya, semakan sedang dilakukan dengan pihak hospital dan klinik kesihatan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana buang bayi. – UTUSAN










