Bayi lelaki baru lahir ditemukan di bahu jalan

Bayi lelaki baru lahir ditemukan di bahu jalan

HANYAN RAMLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemukan tanpa pakaian serta tidak berlapik di atas tanah berbatu di kawasan bahu jalan di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai penemuan bayi itu pada pukul 9.55 pagi.

Katanya, tangisan kuat bayi berkenaan didengari orang awam yang sedang menjemur pakaian lalu bertindak mencari di sekitar.

“Saksi menjerit apabila melihat seorang bayi lelaki di bahu jalan, tidak lama kemudian jirannya mula keluar rumah untuk membantu bawa bayi itu ke kawasan lebih selamat sebelum menghubungi polis,” katanya di sini hari ini.

Hanyan berkata, siasatan lanjut mendapati kawasan penemuan bayi itu tidak mempunyai kamera pengawasan bagaimanapun terdapat titisan darah yang ditemui di kawasan itu.

“Bayi tersebut dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan lanjut, bayi itu dalam keadaan sihat namun mengalami kecederaan calar biasa pada bahagian mata kanan dan bahagian kanan badan,” katanya.

Beliau berkata susulan itu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang merupakan pelajar sekolah menengah ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan.

“Seorang lagi remaja perempuan berusia 19 tahun dipercayai pasangannya telah dibawa ke wad hospital bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut. Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×