PETALING JAYA: Isu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang enggan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi tidak harus berulang khususnya melibatkan dalam kalangan 395,870 calon yang mendaftar menduduki peperiksaan itu tahun lalu.
Jika keadaan tersebut berterusan, tidak mustahil separuh daripada keseluruhan calon SPM 2023 yang keputusannya bakal diumumkan pada Isnin, turut akan mengambil langkah serupa.
Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Yusuf Hassan berkata, tidak mustahil situasi sama boleh berulang lagi pada tahun ini dengan melihat trend belia masa kini yang terpukau dengan gaya hidup yang ditonjolkan oleh pempengaruh sehingga sanggup mengetepikan pendidikan di peringkat lebih tinggi.
Katanya, malah terdapat dalam kalangan generasi muda berpandangan lulusan institusi pengajian tinggi (IPT) tidak menjanjikan pendapatan tinggi dan lebih baik menjadi seorang pekerja sektor ekonomi gig dan pempengaruh media sosial.
Tegas beliau, semua pihak perlu melihat masalah itu sebagai isu serius yang perlu diambil perhatian pelbagai termasuk ibu bapa kerana negara akan kehilangan 70 peratus tenaga mahir sekiranya trend lepasan SPM enggan menyambung pengajian berterusan.
“Semua pihak bukan sahaja kerajaan tetapi juga masyarakat awam sendiri perlu melihat isu tersebut dan perlu tangani secara bersama.
“Jika di peringkat kerajaan, mereka boleh mempergiatkan kempen masuk ke universiti tetapi akhirnya berbalik kepada ibu bapa sendiri. Mereka perlu menasihatkan dan memantau anak-anak untuk mohon memasuki IPT,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini pernah melaporkan dianggarkan lebih 458,000 lepasan SPM tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh tiga tahun sejak 2020 sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan belia negara ini.
Statistik menunjukkan 35.16 peratus atau 115,939 orang lepasan SPM 2020 dan 48.74 peratus atau 180,680 lepasan peperiksaan 2021 itu tidak melanjutkan pelajaran.
Sekiranya trend itu berterusan tidak mustahil perkara sama berterusan melibatkan calon-calon SPM 2023.
Yusuf berkata, semua pihak termasuk kerajaan perlu mempergiatkan kempen jom masuk ke universiti bagi meningkatkan penyertaan calon SPM untuk menyambung pengajian.
Katanya, semua pihak perlu menekankan kepentingan pembelajaran dalam kalangan belia dan bukannya mengambil langkah mudah untuk bergelar sebagai pempengaruh kononnya menjanjikan pendapatan lumayan.
“Semua pihak bukan sahaja kerajaan tetapi juga ibu bapa sendiri perlu melihat isu tersebut sebagai masalah serius kerana boleh merugikan negara,” katanya.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK), Dr. Muhammad Yassin pula berkata, generasi muda kini dilihat lebih ke arah kepada pekerjaan yang berasaskan gig dan kerjaya lain yang memberi kadar upah lebih tinggi berbanding bidang profesional termasuk doktor.
Katanya, kumpulan profesional juga antara terkesan dengan kesan ekonomi semasa dan mendapat bayaran upah yang didapat tidak setimpal dengan kelayakan akademik di samping dibebani kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Malah bidang perubatan juga tidak lagi mendapat perhatian generasi muda dan ini ditambah pula dengan kemelut dalaman antara profesion kedoktoran seperti isu kontrak dan isu kebajikan terabai.
“Sekiranya 20 tahun dahulu, generasi muda waktu itu didedahkan bidang sains dan teknologi bagi melahirkan teknokrat dan ahli saintifik termasuk doktor dan ini antara pendorong utama mereka menceburi bidang perubatan. Namun kini, sebaliknya yang berlaku,” katanya. – UTUSAN










