UiTM kekal peranan bantu Melayu, bumiputera B40

UiTM kekal peranan bantu Melayu, bumiputera B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil pendirian mengekalkan peranannya sebagai institusi yang membantu orang Melayu dan bumiputera terutama dalam golongan kurang berkemampuan untuk mendapat peluang pendidikan tinggi.

Hal demikian termasuklah memastikan mahasiswa yang berada dalam kumpulan tersebut untuk kekal di universiti dan menamatkan pengajian dengan memperoleh ijazah masing-masing.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, peranan tersebut adalah antara matlamat dalam penubuhan universiti terbesar itu walaupun ia sekali lagi berdepan dengan cabaran membawa keluar mahasiswa daripada kemelut ekonomi sara hidup.

Menurutnya, UiTM menyedari, walaupun mempunyai jumlah mahasiswa dalam kategori T20 sebanyak 28 peratus atau kira-kira 53,200 daripada 190,000 orang, majoriti masih lagi terperangkap dan tertekan dari sudut ekonomi berdasarkan data pada tahun lepas.

“Bermakna, cabaran yang sedang kita hadapi UiTM sebagai satu sistem bukan sahaja memastikan siswa mampu untuk belajar dalam kampus dengan yuran pengajian yang masih kekal rendah, tetapi memastikan kelangsungan mahasiswa mampu mengikuti pengajian dengan jayanya.

“Sebab itulah kita ada program Dapur HEP (Hal Ehwal Pelajar) di Sabah dan beberapa kampus lain di Kedah pun ada, kita menyediakan nasi sahaja lauk mereka boleh pilih untuk masak sendiri atau beli. Paling tidak kita tahu pelajar kita mampu melalui harian mereka tanpa perut kosong.

“Itu pendekatan kita di samping melalui bantuan Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (Zawaf). Kita juga buat Gerobok Rezeki dan seperti di UiTM Cawangan Sabah, pelajar boleh ambil makanan, di Shah Alam pun ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, UiTM mengambil tanggungjawab memikul cabaran tersebut bagi memastikan kelangsungan pendidikan tinggi berlaku dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera dengan cara terbaik.

Semalam, akhbar ini melaporkan kira-kira 60 pe­ratus atau 114,000 daripada 190,000 mahasiswa UiTM adalah dalam kalangan B40.

Peningkatan sehingga 20 peratus berbanding sebelum pandemik Covid-19 itu memberi cabaran baharu kepada UiTM dalam memainkan peranan sebagai penyedia pendidikan tinggi kepada orang Melayu dan bumiputera.

Perubahan latar belakang mahasiswa berkenaan dipercayai berpunca daripada keluarga mereka yang sebelum ini berada dalam kumpulan pendapatan isi rumah M40, namun hilang punca pendapatan ketika pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Shahrin menjelaskan, selain memastikan kelangsungan pengajian oleh mahasiswa di kampus, UiTM turut memainkan peranan memastikan graduan yang dihasilkan kekal dalam bidang dan profesionalnya.

Menurutnya, langkah dilakukan termasuklah mengenal pasti kedudukan alumni supaya mereka mampu menyumbang kepakaran dan secara tidak langsung memberi impak kepada ekonomi keluarga dan komuniti sekeliling.

“Contohnya dalam bidang kejuruteraan kita harap kekal dalam bidang tersebut dan menjadi jurutera profesional, kalau akauntan keluar kekal dalam bidang perakaunan menjadi akauntan bertauliah.

“Kerana, antara resolusi yang kita buat dalam kajian kongres ekonomi tempoh hari, adalah perlunya ada post-graduation focus kepada alumni untuk memastikan mereka tidak lari daripada bidang asal dan menjadi profesional dalam bidang masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×