Mohd. Ariff miliki lebih 50 basikal tua - Utusan Malaysia

Mohd. Ariff miliki lebih 50 basikal tua

MOHD. Ariff Bidin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak kecil, basikallah satu-satulah pengangkutan buat ahli keluarganya.

Tiada kereta mahupun motosikal, dan alasan itu jugalah jawapan kepada dia begitu gemar untuk mengumpul basikal, khususnya basikal tua.

Mohd. Ariff Bidin, 43, memiliki lebih 50 basikal tua yang disimpan elok di perkarangan rumahnya.
Cerita Mohd. Ariff, basikal menyimpan kenangan indah jauh di sudut hatinya.

“Sejak kecil saya mengayuh basikal untuk ke sekolah.

“Ketika di sekolah menengah, saya kayuh basikal yang sering digunakan oleh posmen pada masa itu,” katanya mengimbau kenangan.

Basikal berkenaan ditemuinya dalam keadaan rosak di dalam tong sampah di sebuah kedai runcit di Ampangan, Seremban.

Selain basikal, beca lama turut menjadi khazanah berharga dimiliki Mohd. Ariff.

Dia membawa basikal berkenaan ke rumahnya untuk dibaiki dan digunakan untuk ke sekolah.
Basikal itu kini menjadi basikal paling disayanginya daripada kira-kira 50 unit koleksi basikal tua dimiliki dan diletakkan di garaj rumahnya.

“Arwah bapa membesarkan saya menggunakan basikal sahaja. Mungkin daripada situlah timbul minat terhadap basikal tua.

“Semakin dewasa apabila bertemu dengan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama, saya menjadi bertambah semangat untuk mengumpul basikal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Ampangan, Seremban.

Basikal paling tua yang berada dalam simpanannya adalah basikal dari era tahun 1930-an.

Katanya, setiap basikal dalam koleksinya itu mempunyai jenama dan sejarahnya sendiri.

“Basikal klasik saya miliki ada yang saya beli dari pemilik asalnya dari luar negara seperti United Kingdom, Thailand dan Indonesia.

“Antara jenama ada dalam koleksi saya ialah Raleigh, New Hudson dan Hercules.

“Menarikanya, setiap basikal lama ini ada konsepnya sendiri. Contohnya basikal tentera, basikal posmen, basikal sayur, basikal membawa susu dan basikal membawa sayur seperti mana yang kita lihat dalam filem Melayu lama-lama,” katanya.

Selain basikal, saya juga ada tiga buah beca iaitu basikal beca kargo, beca Kelantan dan beca Pulau Pinang,” katanya.

Punyai nilai tinggi
Mengenai nilai khazanah berharga miliknya itu, bapa dua orang anak itu memberitahu, kesemua basikal itu mempunyai nilai yang besar kepada orang yang minat dan mengetahuinya sahaja.

“Setiap basikal ini mempunyai sejarahnya. Saya jaga dengan penuh rapi lagipun basikal ini senang dijaga. Saya lebih suka keadaan asal setiap basikal itu, lebih karat lagi saya suka.

“Ramai pemilik basikal tua yang turut menghantar basikal mereka kepada saya untuk diperbaiki malah ada yang minta saya simpan basikal mereka selepas mengetahui minat saya ini, alasan mereka tiada tempat untuk meletakkan basikal selain tidak berminat untuk menjaganya lagi,” katanya.

Lantaran minat, beliau dan peminat basikal lama dan klasik, mengambil inisiatif menubuhkan lain telah menubuhkan Kelab Basikal Tuo Soghomban (KBTS) sejak beberapa tahun lalu dengan dirinya dilantik sebagai presiden.

“Hingga kini kami mempunyai lebih 50 orang ahli. Kami sering mengadakan pelbagai program seperti kayuhan basikal tua ke beberapa tempat.

“Kelab juga sering diundang untuk memeriahkan majlis seperti perbarisan sambutan hari kebangsaan malah turut dijemput untuk bersama mengiringi perarakan pengantin dalam majlis perkahwinan,” katanya.

Disewa kerana cantik
sejak KBTS dikenali ramai, ia sering menerima permintaan pelbagai pihak termasuk agensi dan jabatan kerajaan yang mahu menyewa basikal tuanya itu.

Pada Aidilfitri lalu, basikalnya banyak disewa untuk tujuan sebagai alatan (prop) untuk dekorasi penganjuran rumah terbuka.

“Basikal saya disewa untuk lebih 15 penganjuran rumah terbuka. Kebanyakan yang menyewa adalah jabatan kerajaan dan pihak swasta, hotel juga ada sewa untuk dijadikan sebagai dekorasi,” katanya.

Majlis rasmi seperti Hari Malaysia dan sambutan kemerdekaan turut mengambil basikalnya sebagai pelengkap acara.

“Ada juga dalam kalangan pihak penerbit serta produser iklan dan filem menyewa basikal-basikal ini.

Paling banyak basikal saya di sewa ialah daripada sebuah syarikat penerbitan dari Singapura yang ketika itu mahu menerbitkan sebuah filem berkisarkan suasana pada zaman pemerintahan British. Sebanyak 20 basikal saya disewa,” katanya.

Kadar sewa dikenakan pada RM100 sehari, namun ia bergantung kepada jumlah dan tempoh sewaan.

Mohd. Ariff memang gemar mengumpul barangan lama yang memiliki nilai warisan.

Selain basikal lama, dia turut memiliki aneka koleksi barangan antik seperti tembikar, jam, almari, beg, kipas, radio dan pinggan mangkuk.

“Barang-barang ini pun ramai yang sewa dan selalu saya sertakan sekali pakej bersama sewaan basikal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×