KEMAMAN: Sepasang kekasih yang disyaki membuang bayi di sebuah kedai menjual ayam di kawasan Jabur Kubur, Jalan Air Putih, Chukai, di sini, berjaya ditahan polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 21 tahun itu ditahan secara berasingan pada pukul 11 pagi dan 3 petang tadi.
“Ketika sedang melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah di sekitar lokasi kejadian iaitu di Kampung Jabur Kubur, kita berjaya menahan seorang gadis yang berada dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 11 pagi tadi.
“Hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit suspek mendapati terdapat banyak gambar bayi lelaki, mirip bayi yang dibuang,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, hari ini.
Hanyan berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku bayi yang dibuang itu adalah merupakan bayinya dan dia melahirkan bayi itu di rumah sewa kekasihnya pada 12 Mei lalu.
“Susulan penahanan suspek, kita berjaya menahan kekasihnya yang bekerja sebagai pembantu kedai di Bandar Chukai kira-kira pukul 3 petang ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Hanyan berkata, hasil soal siasat awal mendapati bayi lelaki itu dibuang berikutan pasangan kekasih itu malu diketahui orang ramai.
Ditanya sama ada suspek turut terlibat dengan kes buang bayi di lokasi sama pada Julai tahun lalu, Hanyan berkata, siasatan akan turut dilakukan dan perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bayi dan wanita itu akan dilakukan.
Menurutnya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kemaman, esok untuk mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
Utusan Malaysia pada Sabtu melaporkan seorang bayi lelaki seberat kira-kira tiga kilogram ditemukan ditinggalkan di sebuah kedai menjual ayam.
Pada 6 Julai tahun lalu, seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat turut ditemui ditinggal di lantai kedai yang sama. – UTUSAN










