PPR sebagai kediaman transit, bukan untuk beli

PPR sebagai kediaman transit, bukan untuk beli

RUMAH PPR disediakan untuk menyediakan tempat tinggal kepada golongan kurang berkemampuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENINGKATAN harga rumah setiap tahun menjadikan impian untuk memiliki kediaman sendiri bagi golongan berkemampuan seolah-olah mustahil.

Bagi golongan berada di peringkat bawah dalam kelompok ini, rumah bersubsidi yang disediakan oleh kerajaan seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) menjadi pilihan mereka.

Namun begitu, proses untuk mendapatkan rumah tersebut bukannya mudah dan mengambil masa serta model ini juga dilihat tidak lestari untuk jangka panjang.

Ini termasuk dari segi tanah yang terhad dan golongan yang sudah berjaya meningkatan pendapatan tapi masih tinggal di perumahan sama, menghalang bantuan tersebut disalurkan kepada yang masih memerlukan.

Presiden Persatuan Perun­ding Hartanah Muslim Malaysia (Peham), Sr. Ishak Ismail berkata, beliau mencadang kerajaan mewujudkan skim sewa untuk beli hibrid kepada golongan kurang berkemampuan sejajar dengan konsep Kerajaan Madani yang berteraskan ihsan.

Katanya, ihsan merujuk kepada sifat adil dan memerlukan penyusun semula keutamaan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

“Dalam konsep perumahan saya cadangkan konsep sewa untuk beli dalam bentuk hibrid iaitu rumah-rumah PPR ini dijadikan kediaman transit kepada mereka sebelum mampu untuk membeli kediaman mampu milik di bawah payung Madani.

“Ini bermakna, rumah-rumah yang dibina itu mendapat diskaun daripada pemaju se­perti dijual pada harga bawah RM200,000 atau RM300,000.

“Beri mereka (golongan tidak berkemampuan) tempoh lima tahun tinggal di PPR. Kutipan sewa yang mereka bayar itu dimasukkan dalam satu tabung yang boleh membantu mereka untuk membeli rumah mereka sendiri kemudian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas beliau, selepas golongan ini membeli rumah sendiri, maka mereka dapat keluar dari PPR tersebut dan memberi peluang orang lain yang tidak berkemampuan untuk menerima manfaat itu pula.

Katanya, model ini adalah lebih baik daripada rumah PPR tersebut diturunkan kepada generasi seterusnya walaupun mereka sukar keluar daripada kategori kemiskinan.

“Jika unit PPR dijual kepada penyewa, maka lama-kelamaan kerajaan mungkin kekurangan tanah untuk membangunkan PPR yang baharu.

“Oleh itu, kerajaan perlu sentiasa mengemas kini data penyewa di PPR daripada semasa mereka mula masuk di situ dan juga tempoh lima tahun selepas itu.

“Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang diwujudkan oleh kerajaan mungkin boleh digunakan untuk mengemas kini data-data ini,” ujarnya.

Baru-baru ini, Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (Rehda) menyarankan kerajaan memperluas penyediaan kediaman sewa khusus buat golongan berpendapatan rendah yang berdepan kesukaran memiliki rumah sendiri.

Pengerusi Rehda Institute, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata, model sewa seperti yang diamalkan di Australia dilihat lebih lestari dan ini juga supaya penghuni berjaya mencapai tahap pendapatan tertentu boleh berpindah keluar dan memberi peluang kepada orang lain yang lebih memerlukan.

“Penyediaan rumah kos rendah bersubsidi yang sifatnya lebih terhad dan memerlukan pembinaan berterusan untuk dijual kepada pemilik-pemilik baharu.

“Tanah merupakan sumber yang terhad, sekiranya industri terus perlu membina rumah mampu milik untuk rakyat, akan sentiasa wujud tekanan untuk membina lebih banyak rumah pada masa depan,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×