Penduduk runsing serangan lalat 'bermusim'

Penduduk runsing serangan lalat ‘bermusim’

JASON H'Ng Mooi Lye (duduk, tengah) ketika mengadakan tinjauan di sekitar Flat Taman Sintar Indah, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Serangan lalat secara ‘bermusim’ bukan sahaja meresahkan penduduk Flat Taman Sintar Indah di sini, malah, ia menimbulkan ketidakselesaan kepada mereka terutamanya semasa menjalankan aktiviti harian.

Salah seorang penduduk, Shahirah Hashim, 25, berkata, kehadiran lalat yang terlalu banyak amat membimbangkan.

Katanya, sudah tiga kali kediamannya diserang oleh lalat sejak menyewa di flat terbabit hampir sepuluh bulan yang lalu.

“Kita boleh lihat serangan lalat ini seolah-olah bermusim dan bulan ini (Mei), keadaan bertambah teruk.

“Ada kalanya sampai terasa-rasa seperti saya menggigit lalat ketika sedang makan atau minum, malah, keadaan ini sudah berlarutan sejak sekian lama.

“Ibu dan bapa saya turut tinggal bersama dan situasi ini mengancam kesihatan mereka kerana lalat adalah serangga yang kotor dan boleh mengundang pelbagai penyakit,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

SERANGAN lalat secara ‘bermusim’ bukan sahaja meresahkan penduduk Flat Taman Sintar Indah, malah, menyebabkan mereka hidup dalam keadaan tidak selesa untuk menjalankan aktiviti harian

Sementara itu, seorang lagi penduduk, G. Sivapakiam, 61, merayu supaya tindakan segera diambil untuk menangani permasalahan itu.

“Berhampiran kediaman ini memang ada ladang ternakan malah kita harap sangat isu ini boleh diselesaikan secara baik. Banyak sudah perbelanjaan dikeluarkan penduduk untuk membeli perangkap lalat dan penyembur serangga, namun, ia tidak berkesan,” katanya.

Difahamkan masalah itu didakwa berpunca daripada pengurusan sisa yang tidak sistematik dari tiga ladang dipercayai ternakan ayam yang terletak berhampiran penempatan berkenaan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar negeri merangkap, Jason H’Ng Mooi Lye mengadakan tinjauan ke flat berkenaan bersama wakil Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Pulau Pinang.

Mooi Lye yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi berkata, lawatan ke ladang terbabit sudah dilaksanakan dan penternak diminta supaya menjalankan kerja-kerja semburan ubat serangga bagi mengawal pembiakan lalat.

“Kita dapati proses semburan ubat telah dimulakan oleh penternak terlibat,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×