JELEBU: Bekalan lembu untuk keperluan ibadah korban di Negeri Sembilan dijamin mencukupi dan tiada keperluan mendapatkan bekalan ternakan itu dari luar.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, berikutan itu, orang ramai yang mahu melakukan ibadah korban tidak perlu bimbang akan isu kekurangan bekalan ternakan itu.
“Selain untuk kegunaan ibadah korban, bekalan daging juga cukup untuk menampung keperluan penduduk di negeri ini sempena Aidiladha ini.
“Kerajaan negeri juga tidak membenarkan sebarang aktiviti membawa masuk lembu dari negeri lain bagi menjamin kepentingan penternak dan peniaga daging di negeri ini.
“Orang ramai yang berhasrat melakukan ibadah korban digalakkan mendapatkan haiwan ternakan itu daripada penternak tempatan,” katanya pada Majlis Penyerahan Titipan Kasih Jemaah Haji dan Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) di Simpang Pertang di sini.
Jalaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri dalam pada itu berkata, terdapat permintaan supaya kerajaan negeri mengawal harga lembu untuk dijadikan korban berikutan harga yang tidak seragam.
Namun jelasnya, harga lembu korban adalah berbeza mengikut keadaan haiwan ternakan itu sendiri.
“Kebiasaan bayaran bahagian korban bagi mereka yang mahu melakukan ibadah itu secara berkongsi atau membeli seekor untuk diri sendiri atau ahli keluarga, ia mengambil kira keadaan lembu seperti usia dan berat.
“Jadi harganya sudah tentu berbeza-beza mengikut keadaan lembu itu sendiri, jika lembu itu besar dan berat harga seekor sudah tentu lebih mahal daripada lembu yang kecil,” jelas beliau lagi
Bagaimanapun, kata beliau, terpulang kepada individu atau mana-mana pihak yang akan menjalankan ibadah korban memilih lembu mengikut kesesuaian dan bajet yang ada.-UTUSAN.











