NEW YORK: Sebuah rakaman video kamera badan menunjukkan anggota polis menggari dan menjerit pada seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang didakwa cuba ponteng sekolah.
Lapor BBC, video yang disiarkan oleh polis di Maryland itu turut menunjukkan dua anggota polis tersebut memberitahu ibu kanak-kanak lelaki itu bahawa dia harus memukul anaknya.
Dilaporkan, ibu kanak-kanak itu memfailkan tindakan undang-undang terhadap insiden yang berlaku pada Januari tahun lalu dan peguamnya memaklumkan kanak-kanak itu mengalami trauma emosi.
Ketika kejadian, anggota polis dari Jabatan Polis Montgomery County menemui kanak-kanak lelaki itu berhampiran sekolahnya.
Rakaman video menunjukkan kanak-kanak yang duduk di bahagian belakang kereta polis itu menangis ketika dibawa semula ke sekolah sebelum dia ditengking supaya berhenti menangis.
Kemudian ibu kanak-kanak lelaki itu tiba di sekolah dan video menunjukkan kedua-dua anggota polis itu menggalakkan wanita tersebut memukul anaknya.
Seorang anggota polis pula bertindak menggari kanak-kanak lelaki itu di hadapan ibunya dengan menyatakan perbuatan itu adalah untuk individu yang gagal mendengar kata dan berkelakuan baik sebelum membukanya semula selepas kira-kira seminit.
Pihak pengurusan sekolah Montgomery County menerusi kenyataan menggambarkan video itu sebagai tidak masuk akal dan ‘menyeksakan’.
“Tiada alasan bagi orang dewasa bercakap atau mengugut seorang kanak-kanak dengan cara ini,” jelas kenyataan itu.










