PETALING JAYA: Penderitaan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza semakin tidak tertanggung apabila sudah 10 hari trak yang membawa bantuan kemanusiaan tidak dapat memasuki wilayah bergolak itu.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron yang sebelum ini terkandas di Gaza.
Katanya, dia mendapat maklumat daripada keluarga suaminya di wilayah itu yang memberitahu bekalan bantuan termasuk ubat-ubatan semakin terhad hari demi hari berikutan tiada trak bantuan dapat masuk.
“Bapa mentua saya sakit darah tinggi dan sekarang ubat memang tiada stok langsung. Selalunya mereka ambil daripada hospital tetapi sekarang kalau pergi hospital tiada apa-apa.
“Anak buah saya pula mengalami sakit jantung dan epilepsi, namun bekalan ubatan untuknya sudah terputus sejak lima bulan lalu. Harga ubat untuk dua penyakit tersebut sudah mencecah 300 shekal (RM380) untuk sebotol yang dahulunya 193 shekal (RM244.70). Namun syukur Alhamdulilah, Allah jaga mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Nurul Ain berkata, stok khemah untuk berteduh juga semakin berkurang dan rakyat Palestin sangat memerlukannya bagi membolehkan mereka berlindung daripada cuaca sejuk dan panas.
“Kawasan Deir Al Balah kini sudah tidak ada ruang langsung untuk memasang khemah kerana terlalu sesak di sana manakala Khan Younis pula ibarat ‘bandar mati’ kerana terlalu susah nak mendapatkan air bersih dan stok makanan yang semakin berkurangan.
“Sekarang saya sedang mengumpul dana untuk diagihkan di Khan Younis sebab kebanyakan orang dari Rafah berpindah ke sana. Ini menjadikan permintaan khemah dan makanan semakin tinggi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, keadaan di Gaza semakin daif apabila semakin banyak kanak-kanak kehilangan ibu bapa dan mereka terpaksa mencari perlindungan dan makanan sendiri.
“Kebanyakan anak kecil yang mungkin berumur enam ke tujuh tahun terpaksa keluar berjalan seorang diri demi mencari makanan untuk keluarga, malah ada yang sudah yatim piatu.
“Ada yang ibu mereka tidak sihat, jadi merekalah yang keluar merayau mencari makanan di sana sini dan situasi itu sepatutnya tidak berlaku,” ujarnya.
Peperangan di Gaza kini sudah memasuki lebih 200 hari sejak 7 Oktober tahun lalu, menyaksikan lebih 35,000 rakyat Palestin terkorban akibat kekejaman tentera Zionis. – UTUSAN










