PETALING JAYA: Pinjaman pendidikan tinggi merupakan hutang kedua terbesar golongan belia berusia 21 hingga 29 tahun di negara ini, mengikut kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).
Menurut kajian itu, pinjaman yang pada asalnya bertujuan meningkatkan prestasi graduan, akhirnya menjerat peminjam berikutan masalah pertambahan komitmen.
Katanya, sehingga 2018, hampir satu perlima daripada penduduk yang bekerja di Malaysia bergelut untuk memperuntukkan dana simpanan disebabkan komitmen yang tinggi.
“Walaupun hutang pinjaman kebiasaannya selesai menjelang usia 40 tahun, namun hutang pendidikan, aspirasi dan kewajipan kewangan yang berterusan menimbulkan cabaran.
“Gaji graduan juga kekal hampir tidak berubah dalam tempoh sedekad. Pada 2021, sebanyak 59.6 peratus graduan menerima gaji kurang RM2,000 untuk pekerjaan pertama mereka,” menurut laporan KRI.’
Menurut KRI, hampir semua peminjam untuk menyambung pendidikan mereka adalah daripada kategori B40, tidak membayar balik pinjaman pendidikan mereka.
Ini kerana, mereka dikatakan mempunyai kedudukan kewangan peribadi yang teruk.
Kategori B40 merangkumi 55 peratus daripada peminjam tabung pendidikan negara dan 60 peratus daripada jumlah pinjaman yang dikeluarkan, katanya.
Pada masa yang sama, kadar pengangguran baharu siswazah dalam tempoh setahun selepas tamat pengajian kekal tidak berubah, sebanyak 15.2 peratus pada 2021.
Justeru, KRI mencadangkan bayaran balik pinjaman hanya dimulakan selepas peminjam melepasi ambang pendapatan yang telah ditetapkan.
“Pada masa ini, peminjam diwajibkan membayar balik pinjaman pendidikan mereka 12 bulan selepas tamat pengajian, tanpa mengira tahap pendapatan.
“Pendekatan ini mengabaikan keupayaan kewangan peminjam, dan secara tidak sengaja menghukum mereka yang menghadapi cabaran dalam memenuhi pembayaran balik selain mengurangkan modal mereka yang mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian,” katanya.
KRI turut berpendapat, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) sebagai pilihan untuk pendidikan tinggi di sebalik stigma masyarakat.
“Graduan TVET cenderung menikmati hasil pekerjaan yang menggalakkan, dengan peratusan lebih tinggi untuk mendapat pekerjaan dalam tempoh setahun selepas tamat pengajian berbanding rakan bukan TVET mereka,” katanya.
KRI juga mencadangkan, kerajaan perlu memberi ruang kepada lebih ramai graduan untuk bekerja di luar negara (yang menawarkan gaji lebih tinggi), supaya peminjam dapat membayar semula pinjaman pendidikan mereka.
“Selain itu, simpanan pendidikan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) menawarkan platform yang selamat dan berstruktur untuk keluarga mengumpul dana yang diperuntukkan bagi tujuan pendidikan.
“Kerajaan juga disaran mengurangkan beban hutang pelajar dengan menjadikan pendidikan tinggi percuma untuk semua.
“Cara paling mudah bagi kerajaan memberi subsidi sepenuhnya kepada pendidikan adalah dengan mengehadkan bilangan pelajar yang memerlukan berdasarkan merit,” katanya. – UTUSAN










