KUALA LUMPUR: Dua pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam bagi tuduhan bersubahat melakukan khianat ke atas sebuah pusat hiburan dengan membaling beberapa botol yang telah dinyalakan api, minggu lalu.
Mengikut pertuduhan, M. Preemraj dan Nor Rahman Sadik, kedua-duanya berusia 25 tahun didakwa membaling empat botol yang telah dinyalakan api pada pukul 2.17 pagi, 9 Mei lalu di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Yap Kwan Seng di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 435 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi Mohamed Noh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, M. V. Yoges.
Selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan kedua-dua pihak, Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan ikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Jun ini.
Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, salah faham berkaitan perniagaan dipercayai menjadi punca berlakunya kes sebuah pusat hiburan dibaling bom petrol dan tidak melibatkan unsur-unsur kongsi gelap. – UTUSAN










