PUTRAJAYA: Ciri-ciri keselamatan yang ada pada kad pengenalan diri atau MyKad sedia ada sudah cukup memadai untuk mengelak ia dipalsukan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, soal pemalsuan MyKad bukan hanya perlu diatasi secara pentadbiran, sebaliknya menerusi aspek penguatkuasaan.
Beliau berkata, ini termasuk hebahan kepada orang ramai supaya tidak terjebak dalam memiliki atau menggunakan dokumen pengenalan diri palsu.
“Kita ada bahagian penguat kuasa di JPN (Jabatan Pendaftaran Negara), malah kita ada keupayaan mengesannya (MyKad palsu).
“Jika dari segi fizikal (ciri keselamatan) itu sudah memadai cuma kita nasihatkaan masyarakat supaya jangan sekali-kali terjebak (memalsukan Mykad),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kes MyKad palsu digunakan warga asing untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini serta adakah kerajaan berhasrat menambah baik ciri keselamatan dokumen itu.
Baru-baru ini, ada beberapa kes dilaporkan membabitkan warga asing yang menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja di negara ini dengan yang terbaharu dikesan pasangan warga Filipina yang menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja di negara ini sejak lebih 10 tahun.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, JPN pernah menerima kes membabitkan pasangan ibu bapa yang mendaftarkan kelahiran bayi yang bukan anak mereka, sebagai anak kandung.
“Antara punca terbesar ialah apabila pasangan yang mengambil anak angkat atau temukan bayi, dia kemudian isytihar anak itu sebagai anak kandung dia, pada masa kecil tak boleh beza tetapi apabila usia 12 tahun dan wajib miliki MyKad, kita boleh kesan, fizikalnya pun kita boleh kenal.
“Biasanya apabila kita temui kes sebegini, kita tidak terus menghukum mereka, sebaliknya kita nasihatkan mereka daftar balik, buat perkara yang betul mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Mykad dikeluarkan JPN memiliki 12 ciri keselamatan sama ada pada komponen cip, foto dan kualiti malah, ia sangat sukar untuk dipalsukan kerana ia telah mengikut piawaian ditetapkan. – UTUSAN







