Lelaki OKU penglihatan didakwa cabul anak saudara

Lelaki OKU penglihatan didakwa cabul anak saudara

TERTUDUH semasa dibawa polis untuk prosiding pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang lelaki yang merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) masalah penglihatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan mencabul anak saudaranya di dua lokasi berasingan di Bachok dekat sini dalam tempoh dua bulan lalu.

Tertuduh berusia 44 tahun yang didakwa atas enam pertuduhan itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad. 

Mengikut kesemua pertuduhan, lelaki yang mempunyai hubungan amanah dengan anak saudaranya iaitu kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun tujuh bulan ketika kejadian didakwa melakukan perbuatan amang seksual dengan mencabul mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di dua buah rumah di Bachok dekat sini pada 26 Februari, 1 Mac, 7 Mac, 25 Mac dan 4 April lalu.

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a), Seksyen 14 (b) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulbasysyar Saharudin. 

Terdahulu, Siti Edabayu tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes yang dihadapi tertuduh amat serius dan melibatkan jenayah seksual. 

Muhammad Zulbasysyar dalam rayuannya memohon ikat jamin minimum memandangkan tertuduh merupakan pemegang kad OKU masalah penglihatan sejak dua tahun lalu selepas terlibat kemalangan 

Nik Habri kemudiannya membenarkan ikat jamin RM75,000 bagi kesemua kes selain menetapman syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat dan dilarang mengganggu mangsa..-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×